Lelaki yang ditahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan di perkarangan rumahnya di Kuala Besut. FOTO IHSAN AADK
Lelaki yang ditahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan di perkarangan rumahnya di Kuala Besut. FOTO IHSAN AADK
Nurul Fatihah Sulaini

Jertih: Gara-gara menyamar sebagai pegawai Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan disyaki meminta wang dari mangsa, empat lelaki tempatan ditahan polis hari ini.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata, tangkapan itu dibuat di tiga rumah di Bukit Keluang, Kampung Raja kira-kira jam 7.30 hingga 10 pagi tadi.

"Empat lelaki berusia antara 20 hingga 24 tahun itu ditahan untuk membantu siasatan kes mengikut Seksyen 170, Kanun Keseksaan.

"Dua orang, ditahan di Kampung Pengkalan Gadoh, seorang di Kampung Pak Kiang dan seorang lagi di Kampung Gong Tiong," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Abdul Rozak berkata, dalam kejadian semalam pengadu memaklumkan ketika dia bersama empat rakannya berada di Pantai Bukit Keluang didatangi empat lelaki tidak dikenali menaiki sebuah kereta Perodua Axia kira-kira jam 2.30 petang.

"Suspek memperkenalkan diri sebagai pegawai AADK dan meminta pengadu dan rakannya menyerahkan kad pengenalan.

"Suspek juga bertindak meminta wang dari pengadu untuk melepaskan pengadu dan rakannya, tetapi pengadu memberitahu tidak mempunyai wang. Selepas itu suspek terus beredar," katanya.

Beliau berkata, pengadu bertindak melaporkan kepada polis berhubung kejadian untuk tindakan lanjut.

"Kereta Perodua Axia dan anak kunci kereta turut dirampas.

"Dua daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau. Keempat-empat tangkapan mengaku terbabit dalam kes yang disiasat. Semua tangkapan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat untuk tindakan selanjutnya." katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Oktober 2020 @ 5:53 PM