Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) berkata, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin harus menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dengan mengadakan perbincangan dan rundingan segera dengan pihak pembangkang berkenaan isi kandungan Belanjawan 2021 sebelum dibentangkan di Parlimen, 6 November ini.

Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini, Majlis Presiden PH berkata, ia bertujuan bagi mencapai objektif yang diingini Yang di-Pertuan Agong.

Katanya, Majlis Presiden PH yakin bahawa semua Ahli Parlimen akan terlibat di dalam sesi perbahasan yang sihat untuk memastikan Belanjawan 2021 mengutamakan kepentingan negara dan rakyat serta menepati aspirasi seperti yang dititah Yang di-Pertuan Agong.

"Majlis Presiden PH menjunjung kasih terhadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja di atas penolakan berprinsip terhadap permohonan Perdana Menteri untuk mengisytihar darurat.

"Majlis Presiden juga mengambil maklum kenyataan Istana Negara bertarikh 28 Oktober 2020 yang menyampaikan titah Seri Paduka yang menasihatkan semua Ahli Parlimen untuk memberi sokongan kepada Belanjawan 2021 demi kelangsungan kesejahteraan rakyat dan pemulihan ekonomi negara yang cukup terkesan akibat pandemik Covid-19.

Anwar Ibrahim beredar selepas selesai Mesyuarat Pakatan Harapan di Ibu pejabat Parti Keadilan Rakyat. FOTO FATHIL ASRI
Anwar Ibrahim beredar selepas selesai Mesyuarat Pakatan Harapan di Ibu pejabat Parti Keadilan Rakyat. FOTO FATHIL ASRI

"Ia juga perlu menetapkan halatuju yang mampu memastikan Malaysia akan terus maju sewaktu dan selepas pandemik termasuk dengan mengenal pasti strategi-strategi pembangunan baharu untuk ekonomi serta membantu jutaan rakyat Malaysia yang terkesan sama ada akibat kehilangan pekerjaan mahupun pendapatan pada tahun 2020 ini," katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan bersama oleh Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Menurutnya, atas sebab-sebab ini, Majlis Presiden PH amat bersetuju dengan Yang di-Pertuan Agong bahawa amatlah penting dan serius untuk Belanjawan 2021 dirundingkan dengan pembangkang sebelum dibentangkan di Parlimen.

  • Lagi berita berkaitan Belanjawan 2021
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Oktober 2020 @ 7:43 PM