AHMAD melihat lembunya yang mati akibat dipanah petir. FOTO ihsan YUSOF MOHAMAD
AHMAD melihat lembunya yang mati akibat dipanah petir. FOTO ihsan YUSOF MOHAMAD
Ahmad Rabiul Zulkifli


Kuala Nerus: "Luluh hati saya melihat tujuh lembu kesayangan mati di bawah pokok gelang itu," kata Ahmad Husin.

Ahmad, 82, dari Kampung Gemuruh, di sini, mengalami kerugian lebih RM20,000 apabila tujuh daripada sembilan lembu diternak mati dipanah petir dalam kejadian 4.30 petang hari ini.

Katanya, dia menyedari lembunya mati dipanah petir pada 6.30 petang selepas diberitahu seorang penduduk.

"Saya memang sedang mencari lembu untuk dikurung di dalam kandang, namun tidak menemuinya.

"Kehilangan lembu itu terjawab selepas seorang penduduk memaklumkan melihat beberapa lembu mati di bawah pokok dipercayai kerana dipanah petir.

"Pada mulanya saya seperti tidak percaya lembu dipanah petir sambil berharap ia selamat, namun sebaik sampai di tempat kejadian, saya terkedu apabila melihat tujuh lembu mati bergelimpangan," katanya.

Beliau berkata, dia menternak lembu sejak lebih 30 tahun lalu dan pertama kali mengalami kejadian berkenaan.

Katanya, ribut serta petir berlaku pada 4.30 dan dia tidak menyangka ia meragut nyawa ternakannya.

"Baki dua lembu terselamat daripada kejadian itu akan dijual kepada penternak lain.

"Cukuplah setakat ini sahaja saya menternak lembu. Saya reda dengan takdir ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Oktober 2020 @ 10:55 PM