ANGGOTA bomba dan polis mengangkat mayat lelaki yang ditemukan lemas. FOTO Ihsan Bomba
ANGGOTA bomba dan polis mengangkat mayat lelaki yang ditemukan lemas. FOTO Ihsan Bomba
Zuliaty Zulkiffli


Pendang: Seorang lelaki ditemukan lemas di Sungai Banggol Temak, di sini, hari ini.

Difahamkan, mangsa berusia lingkungan 50-an itu dipercayai memukat ikan di kawasan itu berikutan penemuan peralatan memukat serta motosikal dipercayai milik mangsa di tempat kejadian.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan daripada polis berhubung penemuan mayat berkenaan pada 9.24 pagi tadi.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pendang yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Mohd Farid Abdullah tiba di lokasi pada 9.39 pagi.

"Operasi disertai enam anggota dan dua jentera dari BBP Pendang.

"Polis meminta bantuan daripada bomba untuk mengangkat mayat lelaki ditemukan di sungai berkenaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata, tindakan Ketua Operasi mengarahkan anggota dengan memakai jaket keselamatan dan turun ke sungai berkenaan untuk mengangkat mangsa.

Beliau berkata, mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

"Setakat ini identiti mangsa belum diketahui," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Oktober 2020 @ 11:51 AM