KEADAAN sebahagian rumah di perumahan Indera Mahkota Dua yang dilanda ribut malam tadi. FOTO MOHD RAFI MAMAT
KEADAAN sebahagian rumah di perumahan Indera Mahkota Dua yang dilanda ribut malam tadi. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Angin kencang serta ribut yang melanda selama kira-kira 30 minit malam semalam, merosakkan bumbung 75 rumah di di kawasan perumahan Indera Mahkota Dua di sini.

Kejadian jam 7.30 malam itu turut menyebabkan beberapa kenderaan rosak ditimpa kayu serta dahan pokok.

Seorang remaja yang sedang menunggang motosikal turut cedera ditimpa pokok.

Penduduk, Aziz Abdul Rahman, 58, berkata ketika kejadian, dia berada di masjid mendengar ceramah Maulidur Rasul.

"Ketika itu, angin kencang melanda diikuti hujan lebat. Saya kemudiannya pulang ke rumah yang terletak kira-kira 50 meter daripada masjid.

"Bagaimanapun, apabila tiba ke rumah, saya dapati bumbungnya sudah diterbangkan angin kencang," katanya di sini, hari ini.

Menurutnya yang bertugas dengan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPN), dia kerugian kira-kira RM2,000 akibat kejadian.

Norizan Mohd Said, 56, berkata, ketika kejadian, dia baru selesai solat di tingkat atas rumah.

"Tiba-tiba saya terdengar bunyi kuat sebelum bumbung rumah tercabut diterbangkan angin kencang.

"Siling rumah pecah, cebisan simen dan batu bata bertaburan dalam bilik, hujan pula mencurah-curah masuk ke dalam bilik," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang Zulkhairi Zainal Abidin berkata, pihaknya akan menyediakan bantuan sesuai buat semua mangsa.

"Siasatan akan dijalankan oleh pegawai JKM untuk menilai semua kerosakan sebelum bantuan seterusnya diagih kepada mangsa," katanya.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Oktober 2020 @ 2:20 PM