GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

George Town: Sembilan kawasan di sekitar Lebuh Sungai Pinang dijangka mengalami gangguan bekalan air antara 6 dan 7 November ini apabila paip bekalan air ke kawasan berkenaan ditutup sementara waktu untuk memberi laluan kepada kerja-kerja pemindahan paip di persimpangan Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu sehingga ke Lebuh Sungai Pinang.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) Datuk Jaseni Maidinsa dalam satu kenyataan berkata kerja-kerja pemindahan paip itu akan memberi kesan kepada kira-kira 4,000 pemilik akaun bekalan air di sembilan kawasan.

Ia terdiri daripada Lebuh Sungai Pinang 1, 2, 6, 7 serta 8; Persiaran Karpal Singh 1 dan 2; Masjid Al-Bukhary; The Spring Condominium; Summer Place Condominium; Ocean View Condominium; Desa Pinang Court 1 dan 2; Maritime Plaza, serta Wesley Methodist International School Penang.

"Pengguna di kawasan berkenaan diminta menyimpan bekalan air yang mencukupi untuk kegunaan dari 9 malam pada hari Jumaat (6 November) sehingga 9 pagi Sabtu (7 November)," katanya.

Menurutnya kerja-kerja pemindahan paip itu perlu bagi memastikan aktiviti pembangunan di Lebuh Sungai Pinang tidak merosakkan paip bekalan air sedia ada di kawasan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Oktober 2020 @ 2:24 PM