JUMBARI (kanan) melawat Ahmad Azman (tengah) di pusat belian padi di Parit 12, Bagan Terap. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
JUMBARI (kanan) melawat Ahmad Azman (tengah) di pusat belian padi di Parit 12, Bagan Terap. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
Amirul Aiman Hamsuddin


Sungai Besar: Akibat kesempitan hidup, seorang lelaki hanya mampu tinggal di pondok yang daif dan sempit sejak lima bulan lalu di pusat belian padi di Parit 12, Bagan Terap, di sini.

Ahmad Azman Sulaiman, 48, terpaksa mengharungi hidup ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Bercerita lanjut, Ahmad Azman berkata, sebelum tinggal di pondok itu, dia berpindah-randah dari satu tempat ke tempat lain dan pernah tinggal di perpustakaan terbiar di Bagan Terap.

Menurutnya, untuk mandi dan buang air, dia akan menggunakan tandas di dalam pusat belian padi itu manakala bekalan elektrik pula ditarik dari pondok pengawal keselamatan di kawasan sama.

"Saya mengambil upah mengait kelapa sawit dengan anggaran pendapatan RM200 sebulan. Pendapatan itu saya gunakan untuk bayar hutang motosikal dan belanja makan minum.

"Saya bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM250 sebulan, namun ia masih tidak mencukupi.

"Teringin nak duduk rumah yang selesa, tetapi punca pendapatan yang tidak seberapa menyebabkan saya pendam keinginan itu," katanya ketika ditemui dalam lawatan bersama Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Parit 12 Timur, Jumbari Ashari yang membuat siasatan selepas kehidupan lelaki itu tular di media sosial, hari ini.

KEADAAN pondok didiami Ahmad Azman. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
KEADAAN pondok didiami Ahmad Azman. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin

Katanya, dia tinggal di pondok itu hasil ihsan pengurusan pusat belian padi terbabit.

Sementara itu, Jumbari berkata, masalah yang dihadapi Ahmad Azman akan dimaklumkan kepada amil kariah untuk dibawa kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS).

"Kami berharap rintihan lelaki ini didengari dan moga dia mendapat tempat tinggal yang lebih selesa berbanding sebelumnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Oktober 2020 @ 2:49 PM