Tan Sri Muhyiddin Yassin berucap pada program Sembang Santai bersama Masyarakat Cina dan Pertubuhan NGO Pagoh di Restoran Taman Pagoh hari ini. FOTO BERNAMA
Tan Sri Muhyiddin Yassin berucap pada program Sembang Santai bersama Masyarakat Cina dan Pertubuhan NGO Pagoh di Restoran Taman Pagoh hari ini. FOTO BERNAMA
Mohamed Farid Noh & Essa Abu Yamin


Pagoh: Kerajaan akan mempertimbangkan cadangan pemutihan pendatang asing tanpa izin (Pati) dengan membenarkan mereka yang tiada permit dan terperangkap di negara ini bekerja dalam sektor pertanian kelapa sawit dan getah bagi tempoh masa tertentu.

Ia susulan masalah kekurangan pekerja yang dialami pengusaha ladang kelapa sawit dan getah ketika pandemik Covid-19 di negara ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan juga sedang mempertimbang cadangan menjalankan pemutihan selain pemberian pas sementara kepada pekerja asing yang berada di Malaysia akibat penutupan sempadan untuk bekerja dalam tempoh satu atau dua tahun.

"Saya akan meminta menteri yang berkaitan untuk membuat satu penjelasan cara bagaimana untuk melaksanakan kaedah berkenaan," katanya ketika berucap di Program Sembang Santai Bersama Masyarakat Cina dan Pertubuhan NGO Parlimen Pagoh di sini, hari ini.

Muhyiddin berkata, kerajaan tidak akan mengumumkan warga asing boleh masuk bekerja di Malaysia kerana bimbang sindiket mengambil kesempatan dengan membawa lebih ramai lagi warga asing secara haram.

"Perkara berkenaan akan diperjelaskan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Sumber Manusia dalam masa terdekat.

"Pemberian pas sementara membolehkan pekerja asing bekerja dalam negara untuk tempoh masa ditetapkan sebelum diganti dengan pekerja asing yang lain," katanya.

Terdahulu beliau meluangkan masa 45 minit beramah mesra bersama masyarakat Tiong Hua dan ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Parlimen Pagoh.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Oktober 2020 @ 5:32 PM