Norzamira Che Noh

Shah Alam: Kerajaan negeri Selangor memperuntukkan RM200 juta bagi melaksanakan empat projek khusus untuk mengatasi insiden pencemaran sumber air di negeri ini.

Projek itu akan dilaksanakan bermula tahun ini dan dijangka siap dalam tempoh 18 bulan.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari dalam pembentangan Belanjawan Selangor 2021 tadi berkata, beberapa langkah drastik perlu diambil bagi mengatasi insiden pencemaran sumber air yang sebelum ini menyebabkan Loji Rawatan Air (LRA) terpaksa dihenti tugas.

"Kerajaan negeri melalui Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) akan menguatkuasakan pelaksanaan pelepasan efluen berdasarkan keupayaan kapasiti sungai iaitu aplikasi Total Maximum Daily Load (TMDL) di kawasan yang ditetapkan.

"Cadangan pindaan Enakmen LUAS akan diangkat untuk mendapatkan persetujuan di dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) kali ini.

"Kita juga akan melaksanakan Projek Perintis Rawatan Biologikal dan BioRemediation bagi tujuan pemuliharaan kualiti air Sungai Gong menggunakan kaedah kombinasi pendekatan biologi seperti peletakan bahan nanoteknologi (Aquaritin) dan kaedah fizikal seperti Raw Water Treatment System (RWTS)," katanya.

Beliau berkata, projek perintis itu juga akan dilakukan di Sungai Sembah, Sungai Beranang dan Sungai Buah berikutan tiga sungai itu dikenal pasti menjadi punca utama pencemaran di Sungai Selangor dan Sungai Langat.

Katanya, dua lagi projek bagi menangani masalah pencemaran air di Selangor adalah menerusi pemantauan dan pengawasan melalui skuad PANTAS yang membuat pemantauan 24 jam di kawasan sensitif sumber air di Lembangan Sungai Selangor dan Sungai Langat.

Jelasnya, kerajaan negeri juga akan menambahkan bilangan stesen telemetri kualiti air bagi tujuan sistem amaran awal di hulu muka sauk yang berisiko.

AMIRUDIN berucap ketika pembentangan Belanjawan Selangor 2021 di Bangunan SUK, Shah Alam. FOTO Faiz Anuar
AMIRUDIN berucap ketika pembentangan Belanjawan Selangor 2021 di Bangunan SUK, Shah Alam. FOTO Faiz Anuar

"Malah, dalam usaha untuk menjamin tiada henti tugas ke atas operasi LRA SSP 1, 2, 3, Rantau Panjang dan Semenyih semasa berlaku insiden pencemaran sumber air, kita akan melaksanakan projek pengepaman air mentah dari kolam takungan HORAS 600 di Sungai Selangor dan Kolam Takungan (Pond C) di Sungai Semenyih.

"Pelaksanaan ini dijangka akan siap dalam tempoh 18 bulan dengan memperuntukkan kos sebanyak RM200 juta. Malah, kita yakin dapat mengurangkan sehingga 90 peratus risiko henti-tugas di LRA yang menyebabkan gangguan bekalan air kepada 1.6 juta akaun pengguna akibat pencemaran," ujarnya.

Dalam pada itu, Amirudin berkata, pihaknya juga akan menggantikan paip-paip usang yang sudah dikenal pasti dengan perbelanjaan kos sebanyak RM579 juta.

Katanya, Air Selangor mensasarkan penurunan kadar air tidak berhasil kepada 25 peratus pada tahun 2025 dan bagi merealisasikan sasaran berkenaan, kerja-kerja penggantian paip utama yang dianggarkan sepanjang 6,000 kilometer (km) di seluruh Selangor termasuk Putrajaya dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

"Air Selangor mensasarkan pelaksanaan penggantian paip-paip usang berdasarkan kepada pemilihan 'hotspot' kawasan kekerapan paip pecah dengan nisbah 150 km paip setahun. Sehingga kini, sebanyak 303 hotspot merangkumi 716 km paip sudah dikenal pasti untuk dilaksanakan di bawah Program Penggantian Paip bagi tahun 2016 hingga 2020.

"Kos yang sudah dibelanjakan bagi tahun 2016 hingga 2019 adalah sebanyak RM529 juta dan bagi tahun 2020 hingga 2022 adalah sebanyak RM579 juta," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Oktober 2020 @ 6:57 PM