FOTO Facebook
FOTO Facebook
Nur Izzati Mohamad

Butterworth: Seorang pemandu lori ditahan polis kerana enggan memberi kerjasama kepada anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang yang mahu memeriksanya pada kejadian di lampu isyarat Jalan Chain Ferry di sini, jam 9 pagi tadi.

Terdahulu, sepasukan anggota JPJ mendapati, lori dipandu lelaki berusia 45 tahun menghala ke Kawasan Perusahaan Perai itu membawa besi melebihi muatan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, anggota JPJ yang menaiki kenderaan peronda mengekori lori terbabit sebelum mengarahkan pemandunya memberhentikan kenderaan.

"Bagaimanapun, lelaki terbabit enggan sebaliknya terus memandu secara merbahaya malah menghimpit kenderaan peronda JPJ sambil menggunakan telefon bimbit.

"Anggota JPJ kemudian meminta bantuan anggota penguat kuasa lain sebelum pemandu lori terbabit memberhentikan kenderaannya di hadapan sebuah kilang," katanya pada kenyataan.

Menurut beliau, anggota JPJ kemudiannya melakukan pemeriksaan dan mendapati lesen kenderaan dan insurans lori terbabit sudah tamat tempoh pada 21 April 2017.

"Pemandu lori itu diminta turun untuk pemeriksaan namun dia enggan bahkan tidak memberi kerjasama apabila diminta menunjukkan lesen memandu.

"Tidak lama kemudian, dia akur dan menyerahkan kad pengenalan dan lesen memandunya yang masih sah," katanya.

Shafee berkata, semakan ke atas nombor pendaftaran lori itu mendapati, ia didaftarkan atas nama sebuah syarikat di Gurun, Kedah.

"JPJ mengeluarkan lima saman ke atas lelaki terbabit atas pelbagai kesalahan.

"Kami menahannya kerana menghalang tugas penjawat awam," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Oktober 2020 @ 7:08 PM