Besi yang dirampas polis kerana dipercayai digunakan seorang lelaki untuk memukul isterinya di Kampung Lembah Pantai, Tanjung Karang. Foto Ihsan PDRM
Besi yang dirampas polis kerana dipercayai digunakan seorang lelaki untuk memukul isterinya di Kampung Lembah Pantai, Tanjung Karang. Foto Ihsan PDRM
Amirul Aiman Hamsuddin

Tanjong Karang: Lelaki ditahan polis selepas disyaki menumbuk dan memukul isterinya di Kampung Lembah Pantai dekat sini.

Polis menahan lelaki itu pada Khamis lalu kerana didakwa memukul isterinya pada 8.40 malam Selasa selepas menuduh wanita itu mempunyai hubungan dengan lelaki lain.

Kejadian itu menyebabkan mangsa yang berusia 48 tahun luka di kepala, patah jari kiri dan bengkak di leher dan belakang badan.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Superintendan Ramli Kasa berkata, ketika kejadian mangsa sedang menonton televisyen bersama anak bongsunya berusia 12 tahun di rumah mereka.

Menurutnya, suspek keluar dari bilik tidur dan mengambil telefon bimbit anaknya sebelum membaling ke dinding hingga pecah.

"Suspek kemudiannya meminta telefon bimbit mangsa, namun mangsa enggan memberikannya menyebabkan suspek terus menumbuk leher kanan dan belakang badan mangsa.

"Lelaki itu pergi ke dapur untuk mengambil besi dan memukul bahagian atas kepala mangsa sebanyak dua kali," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ramli berkata, suspek sekali lagi pergi ke dapur untuk mengambil parang namun mangsa berjaya keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri.

"Mangsa yang cedera kemudiannya mendapatkan rawatan di Hospital Tanjong Karang (HTK)," katanya.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat, suspek berjaya ditangkap di Tanjong Karang.

"Hasil siasatan awal mendapati suspek mengaku memukul isterinya dan memecahkan telefon bimbit anaknya.

"Punca suspek bertindak sedemikian disebabkan cemburu dan menuduh isterinya mempunyai hubungan dengan lelaki lain," katanya.

Menurutnya, suspek direman selama empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 dan 326A Kanun Keseksaan (KK).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Oktober 2020 @ 9:50 AM