Saifuddin menyampaikan bantuan kepada Abdul Mubin selepas rumahnya mengalami kerosakan. FOTO Mohd Rafi Mamat
Saifuddin menyampaikan bantuan kepada Abdul Mubin selepas rumahnya mengalami kerosakan. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Warga emas kerugian RM5,000 apabila keseluruhan bumbung rumahnya diterbangkan ribut dalam kejadian di kawasan perumahan Indera Mahkota Dua, malam kelmarin.

Mangsa Abdul Mubin Abdul Samad, 62, berkata dalam kejadian 7.30 malam itu berlaku dengan pantas dan tidak diduganya.

"Harga kayu dan atap asbestos termasuk upah membaiki memaksa saya mengeluarkan wang simpanan RM5,000, saya reda dengan kejadian ini dan sudah pasti ada hikmahnya.

"Sebelum ini pernah berlaku angin kencang merosakkan bumbung rumah, namun jumlah tidak banyak berbanding kali ini mencecah 83 rumah," kata pesara Pos Malaysia itu.

Sementara itu, Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, bantuan diberikan pihak berkaitan dapat meringankan beban 83 mangsa apabila kediaman mereka mengalami kerosakan bumbung serta atap.

Beliau berkata, difahamkan mangsa menerima bantuan kewangan daripada beberapa pihak seperti kerajaan negeri, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang, Pejabat Daerah dan Tanah Kuantan serta beberapa pihak lain.

"Saya menjunjung kasih kepada Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang turut menghulurkan bantuan kepada mangsa sambil melawat tempat kejadian dan bertemu dengan penduduk.

"Bagi pihak Ahli Parlimen Indera Mahkota bantuan turut diberikan dan diharap dapat meringankan beban setiap mangsa," katanya selepas melawat tempat kejadian, di sini semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Oktober 2020 @ 4:31 PM