GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Kerajaan memandang serius trend peningkatan kes positif Covid-19 secara mendadak di negara ini termasuk lebih 300 petugas barisan hadapan dijangkiti pandemik itu manakala 1,200 dikenakan kuarantin di Sabah.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, gelombang ketiga Covid-19 itu hanya berlaku dalam tempoh sebulan yang lalu iaitu hampir 20,000 kes positif baharu dicatatkan di Malaysia berbanding 10,576 kes dalam tempoh enam bulan sebelumnya.

"Jumlah keseluruhan kes positif setakat 30 Oktober ialah 30,090 kes dengan 246 kematian.

"Setakat ini Sabah mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu 13,701 kes manakala negeri lain mencatatkan lebih 1,000 kes ialah Selangor 4,360 kes, Kuala Lumpur (2,991), Kedah (2,080) dan Negeri Sembilan (1,516)," katanya dalam perutusan khas mengenai situasi semasa Covid-19, hari ini.

Menurutnya, peta Sabah dan Selangor menunjukkan hampir keseluruhan zon merah iaitu kawasan yang mencatatkan kes Covid-19 melebihi 40 kes.

"Negeri yang dahulunya berstatus hijau, iaitu tiada langsung kes positif Covid-19 seperti Perak, Negeri Sembilan dan Melaka menjadi kuning dan sebahagian kawasan bertukar menjadi merah.

"Peningkatan kes Covid-19 secara mendadak memberi tekanan kepada frontliners (barisan hadapan) kita.

"Di Sabah sahaja lebih 300 petugas barisan hadapan dijangkiti Covid-19 dan lebih 1,200 petugas dikenakan kuarantin," katanya.

Katanya, selain itu terdapat anggota polis terkena jangkitan pandemik itu dan setakat ini hampir 11,000 anggota terpaksa dikuarantin.

"Keadaan ini menambah kekangan pasukan polis terutamanya bagi mereka yang bertugas di barisan hadapan. We can't fail our frontliners," katanya.

Beliau merayu kepada semua supaya supaya menjaga diri, ahli keluarga dan orang sekeliling dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.

"Kasihanilah frontliners kita yang terpaksa bekerja siang dan malam bersabung nyawa untuk memerangi wabak ini dan melindungi kita semua.

"Bagi yang bekerja, seboleh-bolehnya bekerjalah dari rumah. Saya bimbang kerana sekarang ini telah ada beberapa kluster baharu yang berpunca daripada jangkitan di tempat kerja.

"Untuk mereka yang terpaksa keluar bekerja, patuhilah SOP dengan penuh berdisiplin, jika tiada urusan penting, duduklah di rumah kerana our home is the safest place on earth now (rumah adalah tempat selamat di bumi ketika ini)," katanya.

Muhyiddin juga mengajak semua pihak termasuk ahli politik, pemimpin masyarakat sivil, pertubuhan bukan kerajaan, belia, mahasiswa dan seluruh lapisan masyarakat supaya bersatu hati, berganding bahu dan berpadu tenaga untuk melawan Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Oktober 2020 @ 5:25 PM