LAPORAN Portal Harian Metro.
LAPORAN Portal Harian Metro.
Mohd Roji Kawi


Kuching: Keluarga Irene Chung, 24, penuntut Malaysia yang mati dibunuh di Taiwan, Rabu lalu akan berlepas ke negara itu untuk menguruskan pengebumian anak mereka itu.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit berkata, perkara itu dimaklumkan ibu penuntut terbabit ketika membuat laporan di Balai Polis Sentral, semalam.

Stanley berkata, difahamkan ibu bapa penuntut itu sudah berada di Kuala Lumpur dan kini menunggu urusan untuk ke Taiwan.

"Ibu mangsa membuat laporan di Balai Polis Sentral, Sibu tengah hari semalam bagi memohon bantuan kerajaan Malaysia untuk memantau siasatan kes pembunuhan anak mereka itu.

"Wanita itu memaklumkan bahawa dia menerima berita berhubung kejadian yang menimpa anaknya itu selepas menerima panggilan daripada pihak Evergreen University Taiwan, Khamis lalu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Bernama hari ini memetik laporan Badan Berita Pusat (CNA) Taiwan, mengenai penahanan seorang lelaki di Kaohsiung, pada malam Khamis kerana disyaki menyebabkan kematian penuntut yang berasal dari Sibu itu.

Lelaki berkenaan dilaporkan mengaku mencekik mangsa hingga mati dengan tali panjang dan membuang mayatnya di pergunungan Kaohsiung.

Suspek dipercayai menculik gadis berkenaan selepas jam 8 malam Rabu lalu, iaitu kali terakhir dia dilihat masih hidup.

Pihak pengurusan Evergreen University Taiwan melaporkan kehilangan penuntut itu kepada imigresen Khamis lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Oktober 2020 @ 6:02 PM