Hadiah RM33,000 menanti pemenang  WAVE Awards 2021.
Hadiah RM33,000 menanti pemenang WAVE Awards 2021.
Murnaena Muhammad Nasir


Kuala Lumpur: Hadiah berjumlah RM33,000 menanti pemenang pertandingan filem pendek dan tarian, WAVE Awards 2021 dalam memartabatkan bakat dan kreativiti anak muda di negara ini.

Pertandingan anjuran Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Perdana itu bakal berlangsung pada 25 Januari tahun depan.

Dekan FiTA Profesor Datuk Dr A Razak Mohaideen berkata, penganjuran WAVE Awards buat kali kedua mendapat kerjasama Yayasan Hasanah, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

"Pandemik Covid-19 tidak menghalang anak muda untuk terus menunjukkan kreativiti, mereka malah acara ini menjadi pemangkin anak muda untuk berkarya.

"Majlis kemuncak WAVE Awards 2021 akan berlangsung di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC) UiTM atau secara dalam talian jika pandemik Covid-19 masih berterusan," katanya dalam satu kenyataan media.

Menurutnya, WAVE Awards 2021 bertemakan 'Unleashing Creative Wonders' mengetengahkan idea dan kreativiti autentik di kalangan pembikin filem dan penari muda.

Katanya, ia berdasarkan lima bidang tumpuan utama iaitu Pendidikan, Pembangunan Komuniti, Alam Sekitar, Seni dan Ruang Awam, Pengetahuan dan Norma Baharu.

"Tujuan penganjuran acara ini bagi mengangkat peranan dan fungsi filem serta tarian secara lebih meluas dan bermakna.

"Penyertaan dibuka dengan matlamat utama memberi kesedaran dalam menjadikan dunia tempat lebih baik untuk kehidupan norma baharu," katanya.

Katanya, mereka yang berminat boleh menghantar penyertaan sehingga tarikh akhir pada 15 Januari tahun depan dengan yuran serendah RM20.

Maklumat lanjut mengenai syarat dan penyertaan boleh melayari laman web www.waveawards.my.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Oktober 2020 @ 6:39 PM