FOTO hiasan
FOTO hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin dan Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Setakat ini Malaysia masih mencatatkan jumlah kes terpencil membabitkan kes inkubasi yang dikesan lebih dari tempoh 14 hari.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kebiasaan kes inkubasi yang dilaporkan positif berlaku pada hari ke-7 atau ke-8 dan tidak sampai hari ke-14.

Katanya, kes wanita di Sarawak (merujuk kes 30,811) yang dilaporkan positif pada hari ke-18 selepas pulang dari Labuan itu adalah kes terpencil.

"Wanita berkenaan pulang dari labuan pada 10 Oktober lalu dan dikuarantin. Seperti biasa kita akan jalankan ujian saringan pada hari pertama dan hari ke-10. Ujian pada hari terbabit didapati negatif dan wanita itu dilepaskan pada hari ke-14.

"Ketika di Sarawak pada hari ke-18, dia diuji semula dan didapati positif. Namun, sebenarnya dia sudah ada gejala pada hari ke-11 tetapi tidak dimaklumkan pada pihak berkuasa atau kementerian dan dibenarkan discaj pada hari ke-14," katanya pada sidang media harian perkembangan terkini Covid-19 di sini, hari ini.

Beliau berkata, melihat kepada kes pengembara dan permaustatin tetap yang pulang dari luar negara yang merekodkan sebanyak 1,181 kes positif Covid-19, 75 peratus daripadanya dilaporkan positif ketika ujian hari pertama.

Manakala 25 peratus lagi menunjukkan keputusan positif ketika hari ke-13 dilakukan ujian saringan.

"Oleh itu, wanita terbabit membuat ujian pada hari pertama dan ke-10 (negatif), tetapi hari ke-11 dan ke-12 terdapat gejala namun tak dilaporkan.

"Di Malaysia kita tidak pernah lagi melihat kes inkubasi yang lebih dari tempoh 14 hari," katanya.

Ditanya mengenai tular gambar seorang menteri berjumpa orang awam dengan tidak memakai pelitup muka serta siasatan dalaman bagi kes ketidakpatuhan dalam mengeluarkan borang kuarantin kepada menteri, beliau berkata, mengikut Akta 342 Kementerian Kesihatan ia dikendalikan polis dan peguam negara.

"Jadi kes terbabit sudah disiasat pihak polis dan peguam negara. Oleh itu, saya tidak mahu komen lebih lanjut terhadap siasatan dijalankan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Oktober 2020 @ 7:25 PM