12 orang tukang gunting membotakkan kepala 45 pelajar tahfiz. FOTO ROSELAN AB MALEK
12 orang tukang gunting membotakkan kepala 45 pelajar tahfiz. FOTO ROSELAN AB MALEK
Roselan Ab Malek


Jerantut: Jerantut Barber Conection (JBC) bergabung tenaga mengadakan program gunting rambut percuma kepada 45 pelajar di Pusat Tahfiz Madrasah An Nabawiyyah Lid Dirasatil Islamiyyah (MALDI) Pulau Tawar, di sini, hari ini.

Pengerusi JBC, Mohd Yousman Mustaffa berkata, JBC membabitkan lapan pemilik kedai gunting rambut di daerah ini dan program berkenaan adalah sumbangan amal kepada pelajar terbabit yang sukar keluar ke bandar Jerantut.

"Seramai 12 tukang gunting dari lapan kedai terbabit membotakkan semua 45 pelajar terbabit dalam masa dua jam.

"Kami mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketat ketika menjalankan aktiviti amal itu bagi memastikan kesihatan semua pihak terjamin.

"Ini program amal kedua kami dan tahun lalu, kami pernah membuat gunting amal apabila semua hasilnya didermakan kepada Romizan Alang Bahari untuk menampung kos rawatan pembedahan hati anaknya di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM)," katanya.

Sementara itu, Mudir MALDI, Maulana Wan Helmi Wan Mohammad Al-Hafiz melahirkan rasa bangga dan berterima kasih atas kesudian tukang gunting terbabit yang melakukan kerja amal.

Katanya, pusat tahfiz itu baru dibuka semula dua bulan lalu selepas ditutup sejak Mac dan dia tidak membenarkan mereka keluar ke bandar untuk bergunting rambut kerana bimbangkan pandemik Covid 19.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Oktober 2020 @ 8:17 PM