Amirudin Shari.
Amirudin Shari.
Oleh Ruwaida Md Zain

Shah Alam: Pejabat Menteri Besar Selangor mengesahkan menerima kertas siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke atas Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari, pagi tadi.

Setiausaha Sulit yang juga Pegawai Khas beliau, Saifudin Shafi Muhammad berkata, kertas siasatan dibuat mengikut Seksyen 15 dan 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) kerana Amirudin dikatakan melanggar perintah kuarantin yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Walaupun siasatan baru sahaja bermula, wajar ditegaskan Menteri Besar Selangor tidak melanggar Perintah Pengawasan dan Pemerhatian Di Rumah ataupun 'Home Surveillance Order' (HSO) seperti yang didakwa.

"Ini sesuai dengan kenyataan Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 22 September lalu bahawa individu yang pulang dari Sabah tidak perlu menjalani kuarantin," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Saifudin berkata, Amirudin pulang dari Sabah pada 28 September lalu dan terus menjalani saringan Covid-19 menggunakan kaedah RT-PCR di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2.

"Pada 29 September, keputusan ujian itu didapati negatif. Mengikut direktif Kerajaan Persekutuan, kuarantin tidak perlu dijalankan untuk individu yang dikesan negatif saringan ujian RT-PCR.

"Tambahan pula, beliau turut diberi surat pelepasan HSO ekoran keputusan ujian itu.

"Namun, atas prinsip kebertanggungjawaban, beliau tetap menjalankan kuarantin kendiri sebagai langkah berhati-hati dan bertanggungjawab, melebihi syarat yang ditetapkan KKM," katanya.

Beliau berkata, susulan kes pencemaran dikesan di muka sauk Loji Rawatan Air Sungai Semenyih dari pencemaran Sungai Batang Benar, Negeri Sembilan pada 4 Oktober lalu, isu itu terpaksa ditangani dan diberikan perhatian berikutan insiden ini menyebabkan 309,687 akaun air membabitkan hampir 1.3 juta pengguna di wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang mengalami gangguan bekalan air.

"Atas prinsip akauntabiliti, beliau turut memaklumkan tindakan itu kepada orang awam melalui media sosial beliau pada hari yang sama.

"Justeru mengikut fakta, undang-undang dan syor Kerajaan Persekutuan, wajarlah difahami bahawa Menteri Besar tidak melanggar sebarang bentuk Perintah Pengawasan dan Pemerhatian Di Rumah kerana surat pelepasan ekoran ujian negatif sudah diterima beliau pada 29 September lalu.

"Sejumlah tiga ujian saringan RT-PCR dijalankan dalam tempoh 14 hari bermula 28 September, 4 Oktober dan 9 Oktober, kesemuanya menunjukkan keputusan negatif," katanya.

Menurutnya, Amirudin sudah mengambil langkah berhati-hati sebagai tambahan kepada Tatacara Pengendalian Piawai yang disyorkan oleh KKM.

Menurutnya, Pejabat Menteri Besar Selangor memberikan jaminan bahawa Amirudin akan memberikan kerjasama penuh kepada PDRM dalam memastikan keluhuran undang-undang terus dihormati dan terpelihara.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 November 2020 @ 6:45 PM