ANGGOTA polis berada di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) di Kempas selepas PKPD dilaksanakan. FOTO Arkib NSTP
ANGGOTA polis berada di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) di Kempas selepas PKPD dilaksanakan. FOTO Arkib NSTP
Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Satu pasukan kesihatan termasuk klinik bergerak disediakan di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) Johor Bahru, di sini, berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sejak semalam hingga 16 November ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan berkata, ia disediakan bagi memantau sebarang kes kecemasan yang berlaku di kawasan itu.

"Semalam, satu mesyuarat Penyelarasan PKPD ILKKM JB diadakan di Pejabat Daerah Johor Bahru bersama agensi berkaitan bagi menyelaras arahan PKPD yang dikeluarkan.

"Semua penghuni ILKKM tidak dibenarkan untuk meninggalkan bilik asrama atau kuarters kediaman masing-masing.

"Antara prosedur operasi standard (SOP) khas bagi PKPD ILKKM yang ditetapkan adalah pengurusan makanan akan disediakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan akan dihantar ke bilik atau kuarters masing-masing dengan bantuan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

"Refreshment kit juga akan dibekalkan kepada penghuni asrama untuk keperluan harian mereka kerana tiada urusan jual beli dibenarkan di dalam kawasan berkenaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, media melaporkan seramai 1,559 orang terdiri pelatih, kakitangan, ahli keluarga dan kakitangan sokongan ILKKM Johor Bahru, terbabit dengan arahan PKPD itu.

Vidyananthan berkata, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) juga diminta untuk menjalankan proses disinfeksi dan nyah cemar di dalam kawasan ILKKM Johor Bahru.

Sementara itu, katanya, terdapat satu kes baharu yang dilaporkan di Johor, semalam membabitkan Kluster Kempas.

"Bagi Kluster Kempas, kumulatif kes positif bagi kluster ini adalah sebanyak 54 yang membabitkan lapan rakan sekerja, 21 ahli keluarga mereka, 11 rakan sekerja ahli keluarga mereka, 13 pelajar dan seorang ahli keluarganya, semalam, " katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 November 2020 @ 3:10 PM