MOHD Efendi bersama Nor Shafeeka Othman ketika ditemui di rumah ibu Nor Shafeeka di Jalan Jati, Jeram, hari ini. FOTO AMIRUL AIMAN HAMSUDDIN
MOHD Efendi bersama Nor Shafeeka Othman ketika ditemui di rumah ibu Nor Shafeeka di Jalan Jati, Jeram, hari ini. FOTO AMIRUL AIMAN HAMSUDDIN
Amirul Aiman Hamsuddin


Kuala Selangor: Kemalangan jalan raya pada September lalu mengakibatkan Nor Shafeeka Othman koma selama 19 hari selain cedera pada otak dan paru-paru.

Selepas tersedar daripada koma di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, ibu kepada dua anak berusia 8 dan 9 tahun itu terpaksa bergerak menggunakan kerusi roda dan memerlukan perhatian penuh.

Berikutan itu, suaminya, Mohd Efendi Mohd Nasir, 43, berkata, dia yang bekerja sebagai pemotong rumput terpaksa berhenti kerja bagi menjaga Nor Shafeeka, 28, dan dua anak mereka.

"Sebelum ini, kami tinggal di Bandar Sungai Buaya, Rawang. Namun, kemalangan menimpa isteri menyebabkan saya meninggalkan pekerjaan sedia ada dan membawanya tinggaldi rumah ibu mentua (Zaharah Sharif, 58) untuk menjaganya.

"Sebagai suami, memang pilu melihat keadaan isteri yang dahulunya boleh berjalan dan bekerja, kini hanya duduk di atas kerusi roda selain menjadi pelupa kesan daripada kemalangan itu.

"Selagi kudrat masih ada, saya akan menjaganya dengan sepenuh hati hingga akhir hayat," katanya ketika ditemui di rumah ibu mentuanya di Jalan Jati, Jeram, di sini, hari ini.

Mohd Efendi berkata, segala keperluan Nor Shafeeka perlu diuruskan termasuk membawanya ke tandas kerana tidak mampu menguruskan diri sendiri.

"Alhamdulillah, ibu dan ayah mentua banyak membantu saya menguruskan isteri. Mereka mengambil pelbagai inisiatif termasuk membawa isteri ke tukang urut untuk merawatnya.

"Hari demi hari, isteri menunjukkan perubahan positif daripada tidak boleh bercakap, kini dia boleh bertutur selain boleh berdiri, namun tidak boleh lama," katanya.

Menurutnya, dugaan menimpa Nor Shafeeka membuatkan mereka lebih kuat dan percaya ada hikmah di sebaliknya.

Katanya, setiap bulan dia perlu memperuntukkan RM500 untuk membeli lampin pakai buang Nor Shafeeka dan susu khas berharga RM100 setin yang perlu diberi sebanyak empat kali sehari.

"Sebelum ini, saya ada memohon bantuan daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), namun masih menunggu maklum balas.

"Harap bantuan ini diluluskan kerana ia sedikit sebanyak dapat menampung beban yang ditanggung," katanya.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh menyalurkannya ke akaun Bank RHB (11204000561171) atas nama Mohd Efendi Mohd Nasir atau menghubungi Nor Shafeeka di talian 017-6307178.

Sementara itu, LZS melalui laman sosial Facebook memaklumkan pihaknya meluluskan bantuan kewangan bulanan, makanan bulanan dan perubatan bulanan berupa susu khas dan lampin pakai buang kepada Nor Shafeeka.

"Kami mendoakan Nor Shafeeka segera sembuh dan tabah dalam menghadapi ujian ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 November 2020 @ 11:47 PM