SUSPEK merempuh beberapa bilik di dalam kilang. FOTO ihsan bomba.
SUSPEK merempuh beberapa bilik di dalam kilang. FOTO ihsan bomba.
Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Seorang bekas pengurus yang baru diberhentikan kerja maut apabila dilanggar treler selepas merempuh masuk ke kilang dan membaling botol petrol di Jalan Kuala Kangsar, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, pihaknya menerima laporan awal daripada orang awam pada 7.30 malam memaklumkan sebuah kereta Honda Civic dipandu seorang lelaki menceroboh masuk ke kawasan kilang itu.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati pada 6.42 petang, suspek berusia 52 tahun yang baru ditamatkan perkhidmatan merempuh dan menceroboh masuk ke kawasan kilang tanpa kebenaran dengan menggunakan kereta.

"Suspek memandu kereta terus merempuh ke dalam Bahagian Fasa 1 Kilang yang terletak kira-kira 500 meter dari pintu utama kilang.

"Selepas memberhentikan kenderaan, suspek membaling botol petrol ke dalam Pejabat Sumber Manusia di premis kilang berkenaan," katanya ketika dihubungi, malam tadi.

A Asmadi berkata, suspek kemudiannya menaiki kereta semula dan memandu laju merempuh masuk ke dalam bilik 'Production Labelling Department' sehingga mengakibatkan kebakaran.

Beliau berkata, kebakaran dipadamkan pengawal keselamatan kilang dan pasukan bomba yang tiba di lokasi memastikan kebakaran dipadamkan sepenuhnya.

"Suspek tidak membawa sebarang senjata dan tiada kecederaan kepada pekerja kilang dilaporkan. Anggaran kerugian dialami pihak kilang adalah RM1 juta.

"Selepas melakukan tindakan khianat suspek, beredar meninggalkan kawasan kilang melalui pintu utama dengan berjalan menghala ke arah kiri kilang," katanya.

Beliau berkata, suspek dipercayai disyaki maut dilanggar treler pada 7.45 di Jalan Kuala Kangsar arah Ipoh berhadapan kawasan perindustrian itu.

Menurutnya, ketika dalam perjalanan melarikan diri dari tempat kejadian, saksi menyatakan suspek seolah-olah sengaja melintas jalan sebelum dilanggar treler itu.

"Hasil siasatan mendapati punca kejadian dipercayai suspek tidak berpuas hati terhadap pihak pengurusan kilang atas penggantungan kerja sejak September lalu kerana masalah disiplin selain pihak kilang sedang menyiasat suspek yang didakwa mengugut pihak atasan kilang.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 427/448 Kanun Keseksaan dan Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan di tempat kejadian masih dijalankan," katanya.


Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 November 2020 @ 12:18 AM