GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: Persatuan Hotel Bajet Malaysia (MyBHA) meminta kerajaan melanjutkan tempoh moratorium dan program subsidi upah untuk sektor pelancongan dan industri perhotelan yang berdepan situasi sukar akibat pandemik Covid-19.

Timbalan Presiden MyBHA Dr Sri Ganesh Michiel berkata, pihaknya berharap ia dilanjutkan sehingga Jun tahun depan secara automatik kepada industri perhotelan dan pelancongan yang kini terjejas teruk berikutan penularan wabak itu.

Beliau berkata, pihaknya juga berharap kerajaan dapat memberikan lebih banyak pelepasan cukai untuk industri ini dan pelancong domestik bagi membantu merancakkan ekonomi pemain industri.

"Tanpa bantuan kerajaan, lebih ramai pekerja di sektor pelancongan dan industri perhotelan yang akan hilang pekerjaan kerana penutupan perniagaan akibat kerugian ditanggung," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Menerusi pembentangan Belanjawan 2021 semalam, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan pemberian Geran Khas Prihatin Tambahan sebanyak RM1,000 kepada peniaga dan penjaja di Sabah yang terjejas teruk ekoran kekurangan kehadiran pelancong.

Geran itu juga akan diberikan kepada pemandu teksi, e-hailing, kereta sewa dan pemandu pelancong di Sabah.

Selain itu sebanyak RM50 juta disediakan bagi kerja penyelenggaraan dan baik pulih kemudahan pelancongan di seluruh negara.

Manakala, sejumlah RM20 juta diperuntukkan bagi menambah baik infrastruktur dan mempergiat promosi kampung-kampung budaya di Terengganu, Melaka, Sarawak dan Negeri Sembilan.

Di samping itu, RM35 juta disediakan kepada Majlis Pelancongan Penjagaan Kesihatan bagi meningkatkan daya saing industri pelancongan kesihatan tempatan berikutan potensinya sebagai pelaburan baharu negara.

  • Lagi berita berkaitan Belanjawan 2021
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 November 2020 @ 4:50 PM