Pemeriksaan berterusan dilakukan KPDNHEP Selangor untuk memastikan bekalan makanan mencukupi sepanjang PKPB yang dilanjutkan sehingga 6 Disember ini. Foto Ihsan KPDNHEP
Pemeriksaan berterusan dilakukan KPDNHEP Selangor untuk memastikan bekalan makanan mencukupi sepanjang PKPB yang dilanjutkan sehingga 6 Disember ini. Foto Ihsan KPDNHEP
Norzamira Che Noh

Shah Alam: Susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilanjutkan sehingga 6 Disember ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor melaksanakan pemeriksaan terhadap bekalan barangan keperluan di negeri ini.

Pengarah KPDNHEP Selangor Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, pemeriksaan dan tinjauan sedang giat dijalankan membabitkan 200 pegawai penguat kuasa dan 77 pegawai pemantau harga bagi meninjau sama ada berlakunya pembelian panik.

"Pemantauan berterusan juga dilakukan untuk memastikan bekalan barangan keperluan seperti gula, tepung, minyak masak, beras, telur dan barangan basah sentiasa mencukupi sepanjang tempoh PKPB ini.

"Selain itu, pihak KPDNHEP Selangor ingin memastikan bahawa tidak berlakunya manipulasi harga dalam kalangan peniaga yang mana akhirnya akan membebankan rakyat serta pengguna," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, hasil pemantauan pihaknya mendapati tidak berlaku pembelian panik oleh pengguna dan suasana perniagaan berlangsung seperti biasa.

Katanya, pemeriksaan ke atas bekalan semasa barangan keperluan seperti gula, tepung, minyak masak, beras, susu tepung, biskut, sardin, mee segera, telur ayam, makanan sejuk beku dan sebagainya didapati mencukupi bagi kegunaan pengguna di negeri ini.

"Kebanyakan peniaga yang ditemui juga memaklumkan tiada pembelian panik berlaku di premis mereka dan peningkatan jualan adalah biasa kerana sektor ekonomi berjalan seperti biasa.

"Pengguna yang ditemui juga memaklumkan mereka berbelanja seperti biasa dan tiada pembelian berlebihan dibuat walaupun PKPB akan bersambung sehingga 6 Disember.

Muhamad Zikril Azan turut menegaskan bahawa pihaknya akan meneruskan pemantauan dan pemeriksaan setiap hari di semua daerah di Selangor agar keperluan barangan makanan tidak terganggu

Menurutnya, pengguna dinasihatkan agar dapat membuat pembelian dengan berhemah dan dalam kuantiti yang wajar bagi keperluan semasa mereka manakala peniaga diberi amaran agar tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barangan.

Sementara itu, sebanyak 6,526 aduan membabitkan pelbagai isu sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan 18 Mac lalu.

Beliau berkata, sebahagian besar aduan membabitkan harga barangan iaitu 2,061, manakala isu barang keperluan asas sebanyak 127 aduan.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 November 2020 @ 10:24 AM