MUHYIDDIN. FOTO BERNAMA
MUHYIDDIN. FOTO BERNAMA
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkongsi kesedihan atas pemergian lagenda sukan bola sepak negara, Datuk Mohamad Bakar.

Muhyiddin menerusi hantaran di Facebook rasminya berkata, jasa dan pengorbanan Allahyarham akan terus dikenang negara serta rakyat untuk selamanya.

"Bagi pihak kerajaan, saya ucapkan terima kasih atas jasa dan sumbangan Allahyarham sepanjang berkecimpung dalam arena bola sepak, terutamanya ketika membantu skuad negara melayakkan diri ke Sukan Olimpik di Munich, Jerman pada 1972.

FOTO Facebook Muhyiddin Yassin
FOTO Facebook Muhyiddin Yassin

"Kerajaan juga tidak akan melupakan jasa Allahyarham yang pernah menjadi Penolong Jurulatih skuad Olimpik Moscow 1980 dan sebagai Ketua Jurulatih Harimau Malaya pada 1985," tulisnya.

Beliau meminta orang ramai bersama-sama berdoa agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman serta beramal soleh.

Mohamad, 75, yang memerlukan bantuan darah berikutan penyakit berkaitan tulang dihadapinya meninggal dunia di Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) Universiti Sains Malaysia (USM) dekat Kepala Batas, Pulau Pinang, pada jam 10.20 pagi tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 November 2020 @ 10:44 PM