Syaherah Mustafa


Kota Bharu: Keadaan jalan di sekitar bandar Kota Bharu lengang tanpa sebarang kesesakan lalu lintas luar biasa walaupun ramai perantau yang pulang ke negeri itu berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan bermula semalam.

Tinjauan Harian Metro hari ini, mendapati aliran trafik seperti hari biasa selain tiada kesesakan berlaku di kawasan tumpuan seperti di pasar, tempat membeli belah dan kawasan rekreasi sekali gus menunjukkan rakyat Kelantan akur dengan arahan kerajaan.

Hampir setiap individu dilihat mengenakan topeng pelitup muka dan mematuhi prosedur standard operasi (SOP) di tempat awam bagi mengelak penularan wabak Covid-19.

Salah seorang perantau, Azimah Mahmood, 38, berkata, dia mengambil peluang pulang ke kampung bersama empat anak berusia tiga hingga 16 tahun selepas kerajaan mengumumkan PKPB.

"Tambahan pula, suami saya bekerja di luar pesisir dan tidak dapat pulang ke rumah kami di Johor Bharu. Demi keselamatan saya dan anak-anak. kami pulang ke kampung di Pengkalan Chepa, di sini.

"Bagaimana pun, kami anak beranak tidak keluar ke mana-mana dan hanya berada di rumah kerana akur dengan saranan pihak kerajaan. Bagi saya ia tidak menjadi satu tekanan malah kami berasa lebih selamat selain dapat meluangkan lada bersama," katanya, ketika dihubungi, hari ini.

Bagi peniaga di Pasar Siti Khadijah, Ummu Saffiyah Azhar, 33, berkata, pelanggan agak ramai sejak semalam namun bukanlah sehingga bersesak dan masih dalam keadaan terkawal.

"Saya sendiri sebagai peniaga di sini bimbang dengan kehadiran pelanggan yang tidak tahu datang dari mana, namun alhamdulillah setakat ini semuanya masih dalam keadaan baik dan mereka mengikut SOP yang ditetapkan.

"Bagi saya keadaan sekarang ini masih seperti biasa tidak ada kesesakan lalu lintas seperti sambutan Aidilfitri, malah setiap kali balik daripada bekerja lalu lintas juga tidaklah mengalami kesesakan yang teruk," katanya ketika ditemui di Pasar Siti Khadijah, di sini, hari ini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah, menasihatkan rakyat Kelantan supaya mengambil langkah berjaga-jaga selain mematuhi SOP yang ditetapkan bagi mengelak penularan wabak.

Jelasnya, tindakan berikut perlu diambil supaya negeri Kelantan tidak bertukar kepada zon merah.

KEADAAN lalu lintas di bandar Kota Bharu lengang. FOTO Syaherah Mustafa
KEADAAN lalu lintas di bandar Kota Bharu lengang. FOTO Syaherah Mustafa

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 November 2020 @ 4:18 PM