Nurul Amanina Suhaini

Johor Bahru: Polis Johor memperkemaskan lagi prosedur operasi standard (SOP) dan meningkatkan sekatan jalan raya di negeri ini susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mulai semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya meningkatkan jumlah SJR daripada 16 kepada 46 merangkumi 36 sekatan PKPB dan 13 sekatan Ops Benteng.

"Selain itu, operasi pemantauan bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) turut dilakukan bagi memastikan rakyat Johor patuh.

"Di Johor, tahap pematuhan rakyat mencecah 97 peratus, (tetapi) kalau boleh kita mahu tingkatkan lagi pematuhan itu," pada sidang media ketika mengadakan lawatan di SJR Plaza Tol Skudai, di sini, hari ini.

AYOB Khan memeriksa surat kebenaran merentas daerah daripada pemandu kereta yang melalui sekatan dan pemeriksaan di Plaza Tol Skudai berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). FOTO Zain Ahmed
AYOB Khan memeriksa surat kebenaran merentas daerah daripada pemandu kereta yang melalui sekatan dan pemeriksaan di Plaza Tol Skudai berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). FOTO Zain Ahmed

Dalam pada itu, Ayob Khan berkata, sebanyak 68 kenderaan diarahkan berpatah balik sehingga semalam kerana tidak mempunyai permit pergerakan merentas daerah atau negeri.

Katanya, pihaknya menerima 4,898 permohonan sejak penguatkuasaan PKPB semalam, dan hanya 76 permohonan ditolak.

Katanya, kesemua 4,822 permohonan yang diluluskan memberikan alasan munasabah seperti ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) antaranya kecemasan dan rawatan.

"Sehingga kini, kita tidak menerima laporan yang orang terpaksa berbaris panjang (untuk membuat permohonan rentas daerah/negeri), kita akan permudahkan permohonan.

Ayob Khan berkata, pihaknya akan meningkatkan penguatkuasaan pematuhan PKPB di kawasan tumpuan ramai khususnya menjelang perayaan Deepavali.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 November 2020 @ 5:43 PM