Amir Abd Hamid dan Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati kadar nilai kebolehjangkitan (Rt) atau R-naught (R0) Covid-19 di negara ini sudah menurun.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kebolehjangkitan itu sudah menurun kepada kurang daripada satu berbanding catatan 2.2 ketika gelombang ketiga Covid-19 mula melanda negara September lalu.

Beliau berkata, penurunan kebolehjangkitan Covid-19 adalah petanda baik bagi pengurangan rekod jangkitan harian.

"Semakan semalam menunjukkan sebanyak 869 kes baharu dicatatkan berbanding unjuran sepatutnya iaitu 975 kes.

"Hari ini pula, sebanyak 822 kes direkodkan berbanding unjuran 975 kes. Ini menunjukkan kes harian semakin berkurangan dan ini adalah petanda baik," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media harian di KKM Putrajaya mengenai perkembangan kes Covid-19, hari ini.

Menurutnya, berikutan pengurangan R0 itu, aktiviti di lapangan bagi mengekang penularan wabak itu perlu dipertingkatkan dan diperkukuhkan khususnya di Sabah.

Katanya, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bersasar di Sabah berjaya mengurangkan kes.

"Harap dalam tempoh seminggu atau dua minggu lagi, kita dapat mengawal penularan dan jangkitan di Sabah," katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, kebimbangan ketika ini adalah kes jangkitan di Semenanjung dan menyifatkan pelaksanaan PKPB terutama di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya sebagai langkah tepat.

"Keadaan mungkin akan lebih buruk jika kita terlewat melaksanakan PKPB di negeri-negeri ini. Namun tindakan proaktif kita menyaksikan pengurangan kes di negeri berkenaan," katanya.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 November 2020 @ 7:56 PM