Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Kebenaran mengeluarkan caruman Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di bawah program i-Sinar, bukan sekadar meringankan beban, malah memberi kelegaan terutama kepada mereka yang hilang kerja.

Bekas pengurus hotel, Izwan Nordin, 29, berkata, dia sangat bersyukur dengan kebenaran bagi pengeluaran itu, apatah lagi selepas diberhentikan kerja pada April lalu.

"Saya ada isteri dan dua anak berusia lima serta enam tahun yang perlu disara, maka terpaksa menjadi penghantar makanan untuk menyara keluarga, tiada pilihan lain.

"Sejak 2014 saya bekerja dalam bidang perhotelan, saya memperoleh gaji cecah RM6,000 tetapi diberhentikan kerana hotel terkesan dengan Covid-19 dan mengurangkan pekerja.

"Sekarang dengan perkhidmatan yang saya buat, agak sukar memperoleh gaji seperti dahulu, sebab itu saya sangat bersyukur apabila adanya program i-Sinar," katanya ketika ditemui hari ini.

PENGHANTAR makanan sambilan, Izwan Nordin (kiri) dan Pengurus Jabatan Cawangan premis pakaian,Noor Fidah Ahmad Hussain. FOTO Redzuan Muharam
PENGHANTAR makanan sambilan, Izwan Nordin (kiri) dan Pengurus Jabatan Cawangan premis pakaian,Noor Fidah Ahmad Hussain. FOTO Redzuan Muharam

Bagi pengurus jabatan di sebuah syarikat pengeluar pakaian, Noor Fidah Ahmad Hussain, 29, dia berharap KWSP mempertimbangkan memperluaskan kategori pemohon i-Sinar kepada pekerja yang dikenakan potongan gaji sepertinya.

"Biarpun masih bekerja tetapi saya tetap terkesan kerana majikan mengambil langkah membuat pemotongan gaji.

"Agak berbeza gaji yang diterima berbanding sebelum ini dan sebagai ahli saya juga berharap dapat memohon i-Sinar dan mengeluarkan sedikit daripada Akaun 1," katanya.

KWSP semalam mengumumkan i-Sinar yang memanfaatkan dua juta ahli yang layak daripada kategori hilang pekerjaan, dikenakan cuti tanpa gaji atau tiada sumber pendapatan.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 November 2020 @ 3:47 PM