PELBAGAI inisiatif membantu golongan B40 adalah bukti betapa suara mereka tidak dipinggirkan. FOTO Arkib NSTP
PELBAGAI inisiatif membantu golongan B40 adalah bukti betapa suara mereka tidak dipinggirkan. FOTO Arkib NSTP
Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Bantuan Prihatin Nasional yang diumumkan pihak kerajaan sebelum ini ternyata memberi kelegaan kepada rakyat yang terkesan dengan pandemik Covid-19 terutamanya golongan memerlukan.

Tidak cukup dengan itu, pelbagai peruntukan bantuan untuk golongan B40 yang dibentangkan dalam Belanjawan 2021 turut menyokong usaha kerajaan itu.

Presiden Persatuan Pengguna Melayu Malaysia Leftenan Kolonel (B) Che Hassan Che Johan berkata, peruntukan yang begitu besar disediakan kerajaan wajar dijadikan kesempatan terbaik untuk menjana pendapatan.

Beliau berkata, dengan bantuan berkenaan, mereka boleh menumpukan kepada perniagaan untuk menjana pendapatan diri sendiri dan keluarga.

Katanya, sebelum ini, industri berasaskan dalam talian tidak begitu rancak dan pengguna masih berteraskan kepada cara hidup lama serta pembelian secara bersemuka.

"Saya percaya dengan adanya jaringan internet yang baik maka ia peluang kepada golongan B40 untuk menceburkan diri dalam perniagaan.

"Di sesetengah negara lain, memang ada ruang untuk berniaga secara dalam talian, tetapi mereka perlu menggunakan data internet sendiri.

"Dengan peruntukan RM1.5 bilion bagi mengurangkan beban untuk kemudahan internet, saya rasa ia adalah pemberian yang baik daripada kerajaan," katanya.

Dalam pembentangan Belanjawan 2021, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, kerajaan turut memperuntukkan 1.5 bilion ringgit bagi melaksanakan Program Jaringan Prihatin bertujuan mengurangkan beban kewangan golongan B40 mendapatkan kemudahan internet.

Katanya, bermula suku pertama 2021, lebih kurang lapan juta penerima dari golongan B40 akan menerima bantuan RM180 seorang dalam bentuk kredit telekomunikasi.

Menurutnya, bantuan ini boleh digunakan untuk perbelanjaan langganan internet atau menampung sebahagian kos pembelian telefon bimbit baharu.


Sementara itu, Timbalan Pengerusi Pertubuhan Kebajikan dan Pembangunan Luar Bandar Malaysia (PKPLBM) Shaiful Akhmar Mohd Noor berkata, pengumuman kerajaan mengenai penubuhan Pusat Sokongan Sosial Setempat kena pada masanya bagi memastikan bantuan kepada rakyat dapat disalurkan segera.

Katanya, pelbagai inisiatif untuk membantu golongan B40 adalah bukti betapa suara mereka tidak dipinggirkan.

"Selaku penggerak NGO, saya rasa RM21 juta untuk pusat sokongan ini akan membolehkan segala bantuan kepada rakyat akan sampai kerana selama ini NGO juga banyak memainkan peranan," katanya.

Sementara itu, Presiden Kelab Pemuda Kampung Baru (KBSquared) Ad Adib Shaharuddin berkata, bantuan berupa penambahbaikan Bantuan Bayaran Bersasar kepada peminjam kategori B40 yang juga penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) dan penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) serta kepada perusahaan mikro dengan jumlah pinjaman diluluskan sehingga RM150,000 juga satu pengumuman melegakan.

Ini kerana, golongan B40 adalah antara yang paling terkesan dengan Covid-19, termasuk mereka yang menceburi perniagaan sebelum ini.

"Kedua-dua pilihan kepada peminjam sama ada menangguhkan ansuran bulanan selama tiga bulan atau pengurangan ansuran bulanan sebanyak 50 peratus selama enam bulan juga sesuatu yang positif," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Belanjawan 2021
  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 November 2020 @ 9:53 AM