LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Ops Selat yang mendedahkan kepincangan di pintu masuk sempadan negara, menyaksikan sehingga pegawai dari gred terendah KP19 yang bersekongkol dengan sindiket kemasukan warga asing ke dalam negara secara haram, disediakan dengan kenderaan mewah seperti Rolls Royce Phantom, Mustang, Range Rover dan Audi oleh sindiket berkenaan.

Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberitahu Bernama, kesemua kereta itu didaftarkan atas nama dua warga China, dipercayai ejen pekerja asing China di Malaysia, dan dua ejen lelaki tempatan.

Menurutnya, SPRM sedang berusaha mengesan keempat-empat mereka yang sudah dikenal pasti identiti itu, dan salah seorang ejen tempatan berkenaan dipercayai membantu dalam urusan menyimpan kenderaan mewah berkenaan.

"Setakat hari ini SPRM sudah menahan 50 orang dalam Ops Selat, yang berkaitan pemalsuan cop kemasukan bagi melintasi sempadan negara, membabitkan 28 pegawai imigresen, 17 ejen pekerja asing dan lima orang awam," katanya.

Beliau berkata, selain itu wang tunai berjumlah RM800,000, 26 kereta mewah, serta empat motosikal berkuasa tinggi dirampas dalam Ops berkenaan.

Menurutnya, ia belum mengambil kira harta lain yang terbabit seperti rumah, tanah, barang kemas dan sebagainya.

Sumber turut menjelaskan modus operandi sindiket berkenaan dalam mengatur "setting" di kaunter Imigresen khusus di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2 yang menurutnya turut didalangi ejen di luar negara.

Beliau berkata, sindiket antarabangsa itu biasanya akan memaklumkan nama, nombor pasport dan jadual penerbangan mana-mana pelawat atau pekerja asing yang sudah disenarai hitam daripada memasuki Malaysia, kepada ejen-ejen di negara ini.

Menurutnya, ejen di Malaysia pula akan berhubung dengan pegawai imigresen di KLIA dan klia2 untuk mengatur (setting) kaunter yang akan membantu meloloskan pekerja asing atau pelawat asing masuk ke Malaysia menggunakan cap palsu.

"Begitu juga dengan proses keluar dari negara ini yang akan berhadapan dengan pelbagai kesulitan seperti senarai hitam, pas lawatan tamat tempoh dan pasport palsu.

"Hanya kaunter tertentu di KLIA dan Klia2 akan digunakan oleh pekerja atau pelawat asing dengan bantuan ejen ini," katanya.

Sementara itu, Pengarah Siasatan SPRM Datuk Norazlan Mohd Razali ketika dihubungi tidak menolak kemungkinan lebih ramai lagi akan ditahan berhubung sindiket ini.

Beliau berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009 dan Akta Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan 2001.

Isnin lalu, SPRM dilaporkan menahan 46 individu termasuk 27 pegawai Jabatan Imigresen dalam serbuan serentak di empat negeri yang disyaki terbabit dengan sindiket penggunaan guna cap palsu keluar dan masuk di sempadan negara.

Ops Selat itu digerakkan SPRM dengan kerjasama Jabatan Imigresen, yang membabitkan serbuan di Putrajaya, Johor Bahru, Kota Kinabalu dan Kuching.

Berita berkaitan

50 ditahan babitkan isu rasuah kakitangan Jabatan Imigresen hingga kini

Beri kereta mewah 'beli' hati anggota imigresen

Isu rasuah imigresen, ia 'rahsia yang terbuka'

Azam puji kerjasama KP Imigresen benteras rasuah

Cap palsu: Imigresen 'makan' RM500 hingga RM6,000 seorang

Cap palsu: SPRM buru Hon Loong dan Hun Siang

JIM dedah 'pengkhianat' pada SPRM

Palsu cap sempadan: 23 termasuk 9 orang awam direman

Tiada pegawai JIM Sarawak terbabit

Ejen cop sempadan direman

46 ahli sindiket, anggota Jabatan Imigresen tumpas [METROTV]

13 suspek termasuk 9 anggota JIM direman [METROTV]

Palsu cop sempadan: 40 pegawai JIM, 3 ejen dicekup

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 November 2020 @ 6:11 PM