Laporan Harian Metro sebelum ini
Laporan Harian Metro sebelum ini
Hazri A Bakar

Johor Bahru: Pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor Bahru pada 16 November lalu, ada yang pernah ditahan sebelum ini.

Pegawai berkenaan dikatakan ditahan sendiri oleh Unit Siasatan Khas JIM Johor beberapa tahun lalu kerana memiliki cap pendua sempadan keluar masuk milik jabatan itu.

"Seorang daripada mereka pernah ditahan selepas risikan JIM mengesyakinya bawa pulang cap sempadan keluar masuk jabatan itu.

"Cap berkenaan tidak boleh dibawa pulang dan perlu dikembalikan kepada penyelia bersama pengesahan tandatangan, sebelum disimpan dalam bilik penyimpanan," kata sumber kepada Harian Metro.

Menurut sumber, hasil pemeriksaan Unit Siasatan Khas JIM Johor itu berjaya membongkar aktiviti pegawai itu yang turut menghasilkan cap pendua untuk digunakan bagi kegiatan haramnya.

Katanya, pemeriksaan mendapati cap asal dibawa pulang bagi menjalankan aktiviti 'pasport terbang', manakala cap pendua diserahkan kepada penyelia.

"Cap pendua itu dikatakan ditempah dari negara jiran dan mirip bentuk serta format cap asli lengkap dengan tarikh dan masa.

"Selepas tangkapan dibuat, individu berkenaan diserahkan kepada pengurusan tertinggi bagi tindakan susulan.

"Kami hanya menjalankan risikan, siasatan dan tangkapan sahaja, manakala tindakan seterusnya bukan dalam bidang kuasa yang diberikan kepada kami," kata sumber itu.

Pada Isnin lalu, seramai sembilan kakitangan JIM Johor yang bertugas di Kompleks Kastam dan Kuarantin (KIK) Bangunan Sultan Iskandar di sini, ditahan SPRM untuk siasatan berkaitan kes pemalsuan cap sempadan.

Sebelum ini, seorang pegawai JIM pernah didakwa di Mahkamah Majistret Johor Bahru atas 12 pertuduhan pada Disember 2014 memiliki cap imigresen bagi tujuan pemalsuan dan dua pasport warga asing.

Menurut sumber itu lagi, antara fokus utama unit siasatan khas itu ialah di pusat pemeriksaan sempadan darat dan laut di Johor.

Katanya, pasukan siasatan khas itu dikatakan dibubarkan pada penghujung 2017 dan digantikan dengan Unit Integriti yang mempunyai fungsi hampir sama.

Sumber itu berkata, kewujudan Unit Siasatan Khas di bawah bahagian penguatkuasaan sangat berkesan kerana berjaya merungkai sehingga ke akar umbi termasuk jika ada pembabitan pegawai yang menjadi petualang menyalahgunakan kuasa di sempadan.

"Unit khas ini bekerjasama dengan bahagian penguat kuasa di mana setiap tangkapan di darat melalui pelbagai operasi antaranya Ops Serkap, Ops Sayang atau Ops Mahir, siasatan lanjut akan dibuat ke atas pendatang asing tanpa izin (PATI), dengan menyiasat bagaimana mereka dapat lolos ke negara ini.

"Ini termasuk dokumen atau cap kemasukan meragukan serta jumlah hari yang tidak mencukupi selepas keluar dari Malaysia menggunakan pas lawatan sosial (PLS)," katanya.

Bagi setiap PLS untuk warga Indonesia, Malaysia membenarkan warga dari negara tanpa memerlukan visa tinggal di negara ini selama tempoh 30 hari.

Bagi negara Asean, hanya Myanmar memerlukan permohonan visa bagi memasuki negara ini.

Selain itu, kata sumber itu lagi, pasukan siasatan akan turut tertumpu kepada pengesanan kemasukan warga Indonesia yang didapati berada dalam senarai hitam tetapi berjaya memasuki negara ini melalui sempadan laut.

Menurutnya, apabila kes seumpama ini dikesan, unit siasatan khas akan digerakkan untuk melakukan risikan lebih terperinci termasuk di pintu masuk ke negara ini yang digunakan bagi mengenal pasti jika wujud salahguna kuasa atau masalah sistem.

Berita berkaitan

Gred KP19 tapi guna kenderaan mewah

50 ditahan babitkan isu rasuah kakitangan Jabatan Imigresen hingga kini

Beri kereta mewah 'beli' hati anggota imigresen

Isu rasuah imigresen, ia 'rahsia yang terbuka'

Azam puji kerjasama KP Imigresen benteras rasuah

Cap palsu: Imigresen 'makan' RM500 hingga RM6,000 seorang

Cap palsu: SPRM buru Hon Loong dan Hun Siang

JIM dedah 'pengkhianat' pada SPRM

Palsu cap sempadan: 23 termasuk 9 orang awam direman

Tiada pegawai JIM Sarawak terbabit

Ejen cop sempadan direman

46 ahli sindiket, anggota Jabatan Imigresen tumpas [METROTV]

13 suspek termasuk 9 anggota JIM direman [METROTV]

Palsu cop sempadan: 40 pegawai JIM, 3 ejen dicekup

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 November 2020 @ 11:13 PM