Anggota polis Kelantan melakukan pemeriksaan terhadap pengguna jalan raya yang melalui sekatan jalan raya jalan Hamzah dari arah Pasir Pekan, Tumpat. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Anggota polis Kelantan melakukan pemeriksaan terhadap pengguna jalan raya yang melalui sekatan jalan raya jalan Hamzah dari arah Pasir Pekan, Tumpat. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Rata-rata rakyat Kelantan sudah menjangkakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dikuatkuasakan semula di negeri itu berikutan peningkatan kes wabak Covid-19 sejak beberapa minggu lalu.

Justeru itu, situasi hari pertama pelaksanaan semula PKPB di negeri ini bermula hari ini kelihatan seperti hari biasa dan tiada perubahan ketara dilihat.

Tinjauan di sekitar bandar ini mendapati orang ramai masih keluar menjalankan urusan harian dan premis tetap beroperasi seperti biasa termasuk Pasar Siti Khadijah.

Peniaga sayur, Rahmah Jaafar, 61, berkata tiada perubahan drastik berlaku daripada segi kedatangan pengunjung dan jika ada perubahan sekalipun adalah waktu operasi perniagaan yang disingkatkan beberapa jam berbanding sebelum PKPB.

"Jika dilihat daripada segi kehadiran pengunjung, keadaan suram sebegini sudah dilihat sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dulu lagi dan jika ada pertambahan (pengunjung) sekalipun adalah ketika kes wabak Covid-19 terkawal baru-baru ini yang membolehkan rentas negeri dilakukan.

"Kini situasi kembali suram seperti beberapa bulan lalu. Untuk PKPB ini, operasi perniagaan di sini disingkatkan kepada jam 2 petang oleh pihak pengurusan," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Bagaimanapun situasi di beberapa sekatan jalan raya (SJR) difahamkan berlaku kesesakan terutama yang membabitkan rentas daerah dan mana pengguna jalan raya majoritinya ingin membuat urusan di Kota Bharu.

Tinjauan turut dilakukan di SJR Jalan Hamzah di sini yang mendapati barisan panjang kenderaan yang datang dari arah Pasir Pekan dan Wakaf Bharu, Tumpat yang ingin memasuki bandar Kota Bharu.

Majoriti daripada pemandu atau penunggang motosikal sudah menyediakan surat sama ada daripada majikan atau urusan penting lain manakala selebihnya tiada surat kebenaran dan diberi amaran menyediakannya atau diarahkan untuk pulang.

Nurul Ayu Atirah Mohamed, 23, berkata walaupun PKPB sudah dapat diramalkan namun dia tidak menjangkakan ia akan dijalankan hari ini.

"Saya kebetulan menerima tawaran temuduga kerja di sebuah pasar raya di sini dan tarikhnya adalah pada hari ini menyebabkan saya berasa agak panik seketika kerana keputusan itu (PKPB) agak mengejut.

"Bagaimanapun surat tawaran kerja yang sempat dicetak menjadi penyelamat dan berjaya melepasi SJR," katanya yang berasal dari Wakaf Bharu, Tumpat.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 November 2020 @ 4:35 PM