Nurul Amanina Suhaini


Johor Bahru: "Tiada angin, tiada guruh tiba-tiba saja air naik sampai bumbung kereta. Mujur ada orang kampung yang mempunyai bot, mereka segera beri bantuan," kata penduduk Kampung Pasir, Faizal Rasib, 35.

Faizal berkata, dia yang pada ketika itu sedang bekerja di bengkel mendapat panggilan telefon daripada isteri memaklumkan hujan lebat jam 2 petang, selain air sudah mulai naik.

"Isteri saya telefon suruh pindahkan peti sejuk kerana air dari kawasan rendah sudah mula naik. Apabila tiba di rumah, saya tidak fikir panjang melainkan sama-sama bantu penduduk terutama warga emas berkerusi roda untuk dipindahkan ke tempat selamat," katanya ketika ditemui di Kampung Pasir, dekat sini, hari ini.

Sementara itu, bagi Mohd Noh Abdul Hamid, 72, dia yang menetap lebih 40 tahun di kampung berkenaan berkata, kebiasaannya air naik hingga paras buku lali, selain hujan lebat hanya berlaku dua hingga tiga kali dalam tempoh setahun.

"Di sini, ada kira-kira 300 kediaman. Ketika kejadian, saya sedang berehat mulai nampak orang kampung bersesak memindahkan kereta dan motosikal tanpa sempat menyelamatkan barangan peribadi mahupun pakaian," katanya.

Difahamkan, tiga kampung di Tampoi, di sini, dilanda banjir kilat setinggi 1.5 meter iaitu Kampung Pasir, Kampung Pangkalan Rinting dan Kampung Sri Jaya.

Dalam kejadian itu, dianggarkan seramai 200 penduduk terpaksa dipindahkan ke Pusat Komuniti Kampung Pasir, dekat sini, selain kelihatan beberapa anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin membantu memindahkan warga emas ke lokasi yang selamat.

Difahamkan, banjir itu berlaku akibat limpahan Sungai Perling yang bertembung dengan laut perairan Johor sehingga menyebabkan lebih 200 rumah dinaiki air.

PENDUDUK kampung membantu menyelamatkan wanita yang sakit menggunakan sampan menuju ke tempat penempatan sementara mangsa banjir di Kampung Pasir. FOTO Zain Ahmed
PENDUDUK kampung membantu menyelamatkan wanita yang sakit menggunakan sampan menuju ke tempat penempatan sementara mangsa banjir di Kampung Pasir. FOTO Zain Ahmed

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 November 2020 @ 6:50 PM