Penduduk kampung ditempatkan di dewan sementara penempatan mangsa banjir di Kampung Pasir, Johor Bahru. FOTO ZAIN AHMED
Penduduk kampung ditempatkan di dewan sementara penempatan mangsa banjir di Kampung Pasir, Johor Bahru. FOTO ZAIN AHMED
Nurul Amanina Suhaini


Johor Bahru: Seramai 26 mangsa daripada 21 keluarga di Kampung Pasir, di sini, ditempatkan di Pusat Komuniti Kampung Pasir, susulan hujan lebat yang melanda kampung berkenaan sehingga menyebabkan berlakunya banjir.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Suhaimi Abd Jamal berkata, sejurus pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 3.20 petang, sebuah jentera bersama 16 anggota bergegas ke lokasi kejadian.

"Pasukan bomba terbabit dalam operasi menyelamatkan mangsa yang terperangkap dan mangsa yang diselamatkan dalam kalangan orang kurang upaya (OKU), warga emas termasuk wanita sedang dalam berpantang.

"Sehingga jam 7 malam, seramai 26 mangsa berusia 11 hari hingga 86 tahun dikenal pasti. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pun ada di sini, mereka akan pindahkan mana-mana pesakit yang memerlukan ke hospital berhampiran.

"Pihak bomba menjangkakan hujan akan berterusan malam ini dan perlu segera membuat pemindahan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Pasir demi keselesaan dan kebajikan masyarakat setempat," katanya ketika ditemui Pusat Komuniti Kampung Pasir, hari ini.

Suhaimi berkata, agensi berkaitan akan terus mencari mangsa yang terkandas dan orang ramai dinasihatkan untuk menjaga keselamatan di musim yang tidak menentu ini.

Sementara itu, daerah Muar difahamkan turut berlakunya banjir membabitkan kawasan Parit Masjid, Kampung Parit Othman Kiri, Jalan Sungai Terap, Jalan Sungai Abong dan Pekan Bukit Pasir.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Muar, Angkatan Pertahanan Awam (APM) Muar berkata, hujan lebat mulai jam 1 tengah hari hingga 4 petang tadi menyebabkan lima rumah penduduk terjejas, namun tiada mangsa dipindahkan kerana limpahan air berlaku hanya di halaman rumah.

Katanya, kerja pemantauan di tempat berisiko sedang giat dijalankan memandangkan satu daripada tiga stesen hujan di kawasan itu mencatatkan bacaan taburan hujan melebihi 31 milimeter (mm).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 November 2020 @ 8:13 PM