MUHAMMAD Adam Danel, Muhammad Arash Raihan, dan Muhammad Muhaimin Putra terkandas selama lapan bulan di Thailand bersama ibu mereka, Sakina Museh ketika ditemui di rumah sewa mereka di Daerah Raman, Yala, Selatan Thailand. FOTO Bernama
MUHAMMAD Adam Danel, Muhammad Arash Raihan, dan Muhammad Muhaimin Putra terkandas selama lapan bulan di Thailand bersama ibu mereka, Sakina Museh ketika ditemui di rumah sewa mereka di Daerah Raman, Yala, Selatan Thailand. FOTO Bernama
BERNAMA

Yala: Tiga beradik warga Malaysia berumur antara 3 hingga 11 tahun terkandas selama lapan bulan di Thailand apabila sempadan Thailand-Malaysia ditutup sejak 18 Mac lalu dalam usaha membendung penularan pandemik Covid-19.

Perkara itu berlaku selepas Muhammad Adam Danel Mohd Rozi, 11, Muhammad Arash Raihan, 7, dan Muhammad Muhaimin Putra, 3, mengikut ibu mereka Sakina Museh, 38, yang juga warga Thailand memasuki negara itu untuk memperbaharui visa di Yala pada 16 Mac.

Sakina berkata, ketiga-tiga anaknya terpaksa mengikut beliau balik ke Thailand kerana tiada orang menjaga mereka di Malaysia.

"Suami saya (Mohd Rozi Ab Rahman) meninggal dunia pada September tahun lalu akibat kanser.

"Disebabkan keadaan terdesak, saya terpaksa membawa ketiga-tiga mereka balik (tanpa dokumen yang sah) ketika itu kerana tiada orang menjaga mereka," katanya.

Beliau berkata, dua hari kemudian, kerajaan Malaysia mengumumkan Perintah Pergerakan Kawalan (PKP) dan bertindak menutup pintu sempadan bermula 18 Mac.

Selain itu, Sakina berkata, kos memasuki semula Malaysia bagi mereka agak tinggi kerana terpaksa menanggung kos menjalani kuarantin selama 14 hari dan ujian pengesanan Covid-19.

"Saya berharap kerajaan Malaysia dan Thailand sedia membantu kami untuk pulang ke Malaysia.

"Kami sudah tinggal sehelai sepinggang," kata penerima bantuan Lembaga Zakat Selangor itu.

Beliau berkata, anak-anaknya sudah beberapa kali bertanya bila boleh balik ke Malaysia kerana ingin meneruskan persekolahan mereka.

Sementara itu, Pejabat Konsulat Malaysia di Songkhla sedang berusaha membantu ketiga-tiga beradik dan ibu mereka pulang ke negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 November 2020 @ 9:50 PM