Muhaamad Hafis Nawawi
[email protected]hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Beroperasi secara tersembunyi dan hanya dibuka apabila mendapat permintaan pelanggan yang dipercayai.

Itu taktik sebuah pusat hiburan di Jalan Ampang di sini, bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Bagaimanapun, kegiatan premis itu yang dipercayai beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) terbongkar selepas Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur bersama anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju menyerbunya pada 11 malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, penyelia premis lelaki bersama 26 warga asing terdiri seorang lelaki warga Bangladesh, 10 lelaki warga China, tujuh wanita warga China, enam wanita warga Vietnam, wanita warga Korea dan wanita warga Thailand ditahan dalam serbuan itu.

Menurutnya, 66 pelanggan tempatan terdiri 44 lelaki dan 22 wanita dikenakan kompaun RM1,000 kerana ingkar arahan PKPB.

Antara yang diperiksa dalam serbuan polis di sebuah pusat hiburan di Jalan Ampang, Kuala Lumpur malam tadi. Foto Ihsan PDRM
Antara yang diperiksa dalam serbuan polis di sebuah pusat hiburan di Jalan Ampang, Kuala Lumpur malam tadi. Foto Ihsan PDRM

"Wanita warga asing yang ditahan itu dipercayai bekerja sebagai pelayan khidmat pelanggan (GRO) dari luar yang datang bersama pelanggan untuk berhibur.

"Premis ini dipercayai beroperasi sejak PKPB secara sembunyi dan hanya pelanggan yang dipercayai sahaja dibenarkan masuk," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nik Ros berkata, warga asing yang ditahan itu terdiri seorang pekerja lelaki warga Bangladesh sementara yang lain adalah pelanggan.

"Polis turut merampas peralatan pusah hiburan, botol minuman keras, resit dan wang tunai sebanyak RM268.

"Siasatan lanjut dijalankan mengikut Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No.7) (2020)," katanya.

Menurutnya, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 32 Akta Eksais 1976, Seksyen 4 (1) (b) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan dan Seksyen 39b Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 November 2020 @ 1:01 PM