Nurul Amanina Suhaini


Johor Bahru: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berkenan Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) dinaik taraf dan diisytiharkan menjadi Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) berkuat kuasa hari ini.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, MBPG adalah pihak berkuasa tempatan (PBT) ketiga di negeri ini yang diisytiharkan menjadi bandar raya, selepas Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) pada 1994 dan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) pada 2017.

Katanya, kepesatan pembangunan Pasir Gudang sebagai Bandaraya Industri dan Pelabuhan dengan kelebihan mempunyai dua pelabuhan bertaraf antarabangsa, kemudahan prasarana menyeluruh yang mengutamakan kesejahteraan rakyatnya serta lengkap memenuhi syarat keperluannya melayakkannya mendapat pengiktirafan dan status sebagai sebuah bandar raya.

"Kepesatan kawasan pentadbiran MBPG berkeluasan 35,957 hektar dengan jumlah penduduk seramai 533,868 orang, selain jumlah pegangan harta adalah sebanyak 90,758 dengan anggaran hasil sebanyak RM127.2 juta setahun.

"Hingga 31 Disember tahun lalu, MPPG berjaya mengutip cukai taksiran semasa sebanyak RM103 juta (85.6 peratus) daripada RM120 juta manakala bagi kutipan tunggakan cukai taksiran pula sebanyak RM18 juta (61.1peratus) berjaya dikutip daripada jumlah tunggakan keseluruhan RM30.9 juta.

SULTAN Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar berkenan mengisytiharkan Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) sebagai Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), mulai hari ini. FOTO Facebook
SULTAN Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar berkenan mengisytiharkan Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) sebagai Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), mulai hari ini. FOTO Facebook

"Jumlah keseluruhan hasil yang dikutip termasuk cukai, bukan cukai dan terimaan bukan hasil hingga Disember tahun lalu berjumlah RM182.7 juta, manakala hingga Oktober lalu berjumlah RM160.3 juta," katanya pada sidang media selepas menyempurnakan penyerahan watikah pengisytiharan MBPG kepada Datuk Bandar Pasir Gudang, Asman Shah Abdul Rahman di Bangunan Dato' Jaafar Muhammad hari ini.

Hasni berkata, perjawatan di MPPG juga terus berkembang dan hingga kini mempunyai sumber manusia seramai 541 orang terdiri daripada 44 pegawai gred pengurusan dan profesional, 308 gred sokongan satu dan 189 gred sokongan dua dengan 338 berjawatan tetap, manakala 203 bertaraf kontrak.

"Dengan naik taraf menjadi sebuah bandar raya, adalah menjadi keutamaan kerajaan Johor supaya penjawat awam yang sedang berkhidmat pada masa ini terus kekal kompeten serta berdaya saing dalam apa juga bidang kerja yang diberikan.

"Semoga dengan pemasyhuran MBPG ini, pembangunan Pasir Gudang dan lokaliti sekitarnya terus diperkasakan menerusi sistem penyampaian perkhidmatan bertaraf dunia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 November 2020 @ 1:18 PM