Hazira Ahmad Zaidi


Pasir Puteh: Hidupnya tidak pernah lekang dengan ujian, namun di sebalik wajahnya yang tenang, Nurul Haslina Mohamad, 34, menderita pelbagai jenis penyakit dan memerlukannya makan 42 biji ubat sehari.

Sejak 20 tahun lalu, dia disahkan menderita penyakit lupus atau Sistemik Lupus Eritematosus (SLE) yang akan menyebabkan kulitnya mengelupas dan bengkak sendi apabila terkena cahaya matahari.

Selain itu, wanita tabah itu turut menghidap asma kronik, injap jantung bocor, masalah buah pinggang, dan pada Ogos lalu dia sekali lagi diuji apabila disahkan mengidap kanser payudara tahap empat.

Nurul Haslina berkata disebabkan penyakit yang dihidapinya itu, setiap empat kali sebulan dia perlu berulang alik ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) untuk menghadiri temujanji dan berjumpa doktor selain menyambung bekalan ubat.

"Ada ketikanya, saya terpaksa mengorbankan temujanji dengan doktor kerana anak sulung, Rusydan Firdaus Azahan, 14, juga mengalami masalah jantung tersumbat sejak berusia lapan bulan dan memerlukannya berjumpa dengan doktor pakar di HRPZII setiap dua kali sebulan.

"Dalam masa sama, anak bongsu, Nuraina Mikayla Mohd Zuki yang berusia 13 bulan juga mempunyai masalah saluran air mata tersumbat sejak lahir menyebabkan matanya bengkak dan serta berair dan perlu menghadiri temujanji di Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian setiap dua kali sebulan," katanya ketika ditemui di rumah sewanya di Kampung Kelubi, di sini, baru-baru ini.

Bercerita lanjut, ibu kepada tiga anak ini berkata, di saat dia disahkan menghidap kanser payudara tahap empat sejak tiga bulan lalu, ia benar-benar memberi tamparan hebat buatnya, namun dia perlu kuat melawan penyakit itu demi anak-anak yang masih kecil dan memerlukan perhatian.

"Pada 2006 terdapat biji kecil di payudara sebelah kanan dan sudah sudah menjalani pembedahan untuk membuangnya di HRPZII, namun selepas 14 tahun, doktor sekali lagi mengesan terdapat beberapa biji sebesar bola ping pong di payudara sebelah kanan.

"Pada awalnya, saya mengalami demam berpanjangan selama seminggu dan bimbang dengan keadaan diri yang semakin lemah menyebabkan saya membuat keputusan untuk mendapatkan rawatan di HRPZII dan daripada ujian ultrasound yang dibuat, terdapat biji di payudara sebelah kanan.

"Mengikut jangkaan, saya perlu menjalani pembedahan untuk membuang biji itu dalam tempoh masa terdekat ini bagi mengelak sel kanser merebak ke organ yang lain," katanya yang sebelum ini bekerja sebagai pengawal keselamatan di salah sebuah hospital di Pasir Puteh.

Nurul Haslina berkata, bagi meneruskan kelangsungan hidup, mereka sekeluarga bergantung kepada suaminya, Mohd Zuki Mohd Razizan, 33, yang bekerja sebagai tukang rumah dengan pendapatan RM50 sehari, namun ia tidak menentu kerana bergantung kepada permintaan.

"Ada ketikanya, kami anak beranak terpaksa mengalas perut dengan makan nasi kosong bersama telur rebus dan budu selama dua hingga tiga hari bergantung kepada keadaan.

"Namun bersyukur kerana ada bantuan bulanan yang diperoleh daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM250 sebulan yang sedikit sebanyak dapat meringankan beban yang ditanggung dan boleh digunakan untuk perbelanjaan anak-anak sekolah.

"Setiap bulan saya perlu membelanjakan sekurang-kurang RM500 untuk tambang pergi dan balik bagi menghadiri temujanji saya dan anak-anak di hospital dengan menaiki teksi atau kereta tambang," katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyalurkannya ke akaun Bank Islam, 03-018-02-115556-9 atas nama Nurul Haslina Mohamad atau menghubunginya di talian 013-9243686.

Nurul Haslina (kanan) menunjukkan ubat-ubatan yang perlu diambilnya pada setiap hari. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI
Nurul Haslina (kanan) menunjukkan ubat-ubatan yang perlu diambilnya pada setiap hari. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 November 2020 @ 1:50 PM