Syaherah Mustafa


Pasir Mas: Peniaga pasar pagi dan pasar malam antara yang terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kelantan, namun rata-rata mereka tetap bersyukur kerana masih diberi peluang untuk berniaga.

Tinjauan Harian Metro di pasar pagi Kampung Penggu, di sini, hari ini, mendapati kebanyakan peniaga membuka gerai seperti biasa namun jumlah pengunjung tidak ramai selain dikawal rapi anggota keselamatan yang bertugas.

Malah, semua peniaga dan pengunjung didapati mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan seperti memakai pelitup muka, menjaga penjarakan sosial serta mengikut peraturan laluan sehala bagi mengelak kesesakan di pasar.

Peniaga, Ismail Zakaria, 46, berkata hari ini adalah hari pertama gerainya dibuka dalam tempoh PKPB dan mengakui pelanggan agak kurang berbanding hari biasa.

"Namun, saya bersyukur masih lagi dapat mencari rezeki walaupun pelanggan tidak ramai seperti minggu sebelum ini selain hanya dikunjungi penduduk setempat sahaja kerana tidak dapat sesuka hati merentas daerah.

"Kebanyakan rakan niaga di pasar pagi ini turut mengeluh tetapi dalam masa sama berkongsi rasa lega kerana masih lagi boleh mencari pendapatan sendiri walaupun hasil jualan tidak banyak seperti sebelum ini.

TINJAUAN  di pasar pagi Kampung Penggu, di sini, hari ini, mendapati kebanyakan peniaga membuka gerai seperti biasa. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
TINJAUAN di pasar pagi Kampung Penggu, di sini, hari ini, mendapati kebanyakan peniaga membuka gerai seperti biasa. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

"Saya memang menjual nasi dan lauk pauk di pasar ini setiap minggu dan mengambil keputusan mengurangkan kuantiti barang jualan kerana khuatir tidak habis serta membazir," katanya.

Sementara itu, pengunjung, Azah Syazwani Ibrahim, 27, berkata dia jarang sekali dapat melihat suasana lengang di pasar terbabit kerana lazimnya dipenuhi ramai orang daripada merata tempat.

"Saya terkejut dengan suasana ini tetapi sejujurnya sebagai pengunjung saya berasa lebih selesa dan selamat. Peniaga pula nampaknya tidak berkurangan dengan jumlah gerai sama seperti minggu lain.

"Pasar pagi di sini antara tempat wajib yang saya kunjungi setiap Ahad kerana menjual pelbagai jenis makanan, pakaian dan barang basah. Saya bersyukur kerajaan masih membenarkan ia dibuka kerana memudahkan penduduk di sini mencari barangan dapur serta keperluan lain.

"Namun, SOP terus dipatuhi agar tiada penularan wabak Covid-19 malah peniaga dan pengunjung dilihat mengikuti segala arahan yang ditetapkan di sini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 November 2020 @ 1:58 PM