Siti Rohana Idris

Tumpat: Mayat lelaki tanpa identiti ditemukan terapung dalam sungai di Kampung Mentua di sini, tengah hari ini.

Mayat lelaki terbabit ditemukan oleh seorang pencari ketam yang ingin dikenali sebagai Amir, 20, yang ketika itu ke sungai untuk memeriksa bubu ketamnya.

Amir berkata, ketika berada di jeti untuk ke sungai pada 12.45 tengah hari, dia ternampak satu objek terapung di celah pokok nipah.

"Objek itu kelihatan seperti badan manusia, namun saya tidak begitu mengendahkannya dan menaiki bot menuju ke lokasi bubu ketam yang terletak kira-kira satu kilometer.

"Selepas mengambil bubu itu, saya kembali semula ke jeti dan lihat objek itu masih berada di situ sebelum mendekatinya untuk mengesahkan ia adalah mayat seorang lelaki.

"Saya segera naik ke darat dan menghubungi pihak polis untuk memaklumkan penemuan itu," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Anggota polis dan bomba mengusung mayat yang dibawa ke Hospital Tumpat bagi proses bedah biasat. Foto Nik Abdullah Nik Omar
Anggota polis dan bomba mengusung mayat yang dibawa ke Hospital Tumpat bagi proses bedah biasat. Foto Nik Abdullah Nik Omar

Ketua Polis Daerah Tumpat Superintendan Ab Rashid Mat Daud ketika dihubungi mengesahkan penemuan mayat terbabit dan pihaknya menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti identiti lelaki itu.

Menurutya, mayat dibawa ke Hospital Tumpat untuk proses bedah siasat.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Kubor, Penolong Penguasa Bomba Raja Arisan Raja Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan polis pada 1.07 tengah hari bagi membantu menaikkan mayat terbabit.

"Saya dan lima anggota bergegas ke lokasi dan mendapati mangsa yang berpakaian lengkap terapung di tepi sungai di celah pokok nipah dalam keadaan meniarap.

"Kami mengangkat mayat lelaki itu ke dalam bot dan membawanya ke Kampung Kebun kira-kira satu kilometer dari lokasi ditemui bagi memudahkan urusan menaikkannya ke darat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 November 2020 @ 3:49 PM