Anggota Pertahanan Awam Malaysia (APM) melakukan simulasi menyelamat mangsa banjir mengikut SOP ketika pandemik COVID-19 di Tasik Beris, hari ini. FOTO NOORAZURA ABDUL RAHMAN
Anggota Pertahanan Awam Malaysia (APM) melakukan simulasi menyelamat mangsa banjir mengikut SOP ketika pandemik COVID-19 di Tasik Beris, hari ini. FOTO NOORAZURA ABDUL RAHMAN
Noorazura Abdul Rahman


Sik: Penghadang antara khemah dalam pusat pemindahan sementara (PPS) akan dibina bagi menjarakkan mangsa banjir dan mengelak mereka daripada berkomunikasi secara dekat.

Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam (APM) Datuk Roslan Wahab berkata, penghadang itu khususnya untuk PPS yang mempunyai ruang terhad, demi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) mencegah penularan Covid-19.

Katanya, SOP itu hanya dapat dilaksana dengan baik jika semua mangsa banjir patuh terhadap larangan.

"Masalah mungkin timbul jika PPS dibuka di dewan atau balai raya yang mempunyai ruang terhad, jadi APM akan membina penghadang bagi memisahkan mangsa banjir selain mengelak mereka agar tidak kerap bersembang dekat.

"Kalau sekolah dijadikan pusat pemindahan, memang tiada masalah sebab sekolah mempunyai banyak bilik untuk kita gunakan," katanya yang ditemui selepas Program Simulasi APM Menghadapi Banjir Di Bawah Norma Baharu di Tasik Beris di sini, hari ini.

Roslan berkata, beliau yakin tahap kesedaran penduduk terhadap SOP pencegahan Covid-19 tinggi dan mereka yang menjadi mangsa banjir akan mampu beri kerjasama baik di PPS kelak.

Mengulas kesiapsiagaan APM menghadapi banjir di seluruh negara, kataya, ketika ini 20,000 anggota sukarelawan APM dan aset sedia digerakkan apabila keadaan memerlukan.

"Jumlah anggota boleh ditambah sehingga 25,000 bergantung kepada situasi banjir. Setakat ini, yang berlaku banyak tempat adalah banjir kilat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 November 2020 @ 5:06 PM