SUSPEK dibawa ke mahkamah untuk permohonan reman. FOTO Zaid Salim
SUSPEK dibawa ke mahkamah untuk permohonan reman. FOTO Zaid Salim
Zaid Salim


Kuala Terengganu: Seorang lelaki ditahan polis awal pagi ini kerana membuat kenyataan jelek dan menghina beberapa tokoh agama dan pemimpin menerusi video yang dimuatnaik melalui Facebook (FB).

Menurut sumber, lelaki berusia 38 tahun dari Kampung Wakaf Baru, Jalan Gong Badak, di sini, ditahan di rumahnya jam 1 pagi tadi.

Katanya, tangkapan terhadap lelaki itu dibuat susulan laporan daripada seorang peniaga berusia 38 tahun dari Kampung Durian Burong, di sini, selepas melihat video berkenaan yang tular sejak 5 petang kelmarin.

Polis turut merampas satu unit telefon bimbit jenama Vivo dan ujian air kencing mendapati suspek positif methamphetamine.

Menerusi video berdurasi sembilan minit empat saat itu, suspek membuat kenyataan jelek dan menghina terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohammad Al-Bakri, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Ustaz Azhar Idrus, agama Islam dan bangsa Melayu.

Suspek ditahan reman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 292/504 Kanun Kesiksaan (KK) dan Seksyen 233 KK.

Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Rendah Kuala Terengganu, Norina Maludin membenarkan suspek direman selama dua hari bermula hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 November 2020 @ 5:10 PM