Tan Sri Dr James Jemut Masing ketika mengadakan sidang media harian perkembangan COVID-19 Sarawak hari ini. FOTO MOHD ROJI KAWI
Tan Sri Dr James Jemut Masing ketika mengadakan sidang media harian perkembangan COVID-19 Sarawak hari ini. FOTO MOHD ROJI KAWI
Oleh Mohd Roji Kawi


Kuching: Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kuching dilanjutkan lima hari lagi sehingga 27 November ini.

Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Dr James Jemut Masing berkata, keputusan itu dicapai Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dalam mesyuarat hari ini selepas mendapati dalam tempoh 14 lalu sebanyak 58 kes positif tempatan dikesan di daerah Kuching.

Bagaimanapun katanya, jika dalam tempoh lanjutan itu, JPBN Sarawak mendapati tiada lagi keperluan untuk penguatkuasaan PKPB, ia boleh dipendekkan pada bila-bila masa.

"Taburan kes jangkitan Covid-19 di Kuching tidak tertumpu kepada kawasan tertentu sahaja dan selepas kita membuat penilaian risiko, maka tempoh PKPB di daerah Kuching dilanjutkan," katanya pada sidang media harian perkembangan Covid-19 Sarawak di sini, hari ini.

Masing kini memangku tugas Pengerusi JPBN Sarawak berikutan Datuk Amar Douglas Uggah Embas, cuti rehat selama sebulan selepas menjalani pembedahan kecil arteri jantung, Selasa lalu.

PKPB mula dikuatkuasakan selama 14 hari di Kuching bermula 9 November lalu dan sepatutnya berakhir hari ini selepas berlaku peningkatan mendadak jangkitan Covid-19 di daerah itu.

Mengulas lanjut perkembangan Covid-19 Sarawak, Masing berkata, tiada kes baharu jangkitan di Sarawak, hari ini.

Beliau berkata, tatacara kemasukan ke Sarawak dan arahan wajib tempoh kuarantin selama 14 hari apabila masuk ke Sarawak juga dilanjutkan sehingga ke tarikh yang akan diberitahu kemudian.

Mengenai pergerakan keluar dan masuk daerah Kuching, beliau berkata sepanjang tempoh PKPB lanjutan adalah masih tidak dibenarkan kecuali untuk tugas rasmi dan tujuan bekerja.

"Surat dan pas kerja daripada ketua jabatan atau majikan adalah memadai sebagai bukti untuk merentas keluar masuk Kuching manakala bagi kes kecemasan adalah dibenarkan tetapi perlu memohon permit dari polis," katanya.

Sementara itu katanya, bilangan penumpang dalam kenderaan persendirian adalah mengikut kapasiti kenderaan dan tidak lagi terhad kepada tiga orang sahaja seperti arahan terdahulu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 November 2020 @ 5:58 PM