Siti Rohana Idris


Tumpat: Lebih 3,000 permohonan rentas daerah dibuat di semua balai di Kelantan termasuk Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di Tumpat sejak pengumuman penguatkuasaan semula Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) petang Jumaat lalu sehingga kini.

Difahamkan IPD Tumpat dan Balai Polis Wakaf Bharu mencatatkan bilangan paling tinggi permohonan itu berbanding balai polis lain dalam daerah terbabit.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Ab Rashid Mat Daud berkata, orang ramai mula membanjiri balai polis sejak petang Jumaat lalu dan sehingga hari ini masih memenuhi kaunter untuk mengisi borang.

"Pelbagai tujuan diberikan untuk permohonan rentas daerah namun kebanyakannya membabitkan urusan kerja seharian.

"Bagaimanapun ada juga yang menyatakan tujuan ingin membeli barang dapur di pasar raya di Kota Bharu dengan alasan sudah biasa berurusan di pasar berkenaan sedangkan mereka boleh berjual beli di sekitar Tumpat.

"Kami terpaksa meluluskan permohonan itu memandangkan ia adalah keperluan," katanya ketika ditemui di Sekatan Jalan Raya (SJR) Pasir Pekan, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Ab Rashid Mat Daud (kanan) bersama anggotanya melakukan pemeriksaan terhadap pengguna jalan raya.
Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Ab Rashid Mat Daud (kanan) bersama anggotanya melakukan pemeriksaan terhadap pengguna jalan raya.

Ab Rashid berkata, dari segi penugasan sempena PKPB, pihaknya mengikut penyelarasan yang dibuat Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan pematuhan kepada Prosedur Operasi Standard (SOP).

Bagaimanapun pihaknya memberi tumpuan untuk tugasan SJR di Tumpat iaitu Pasir Pekan, kerana laluan itu sesak terutama di waktu puncak iaitu jam 5 petang hingga 7 malam.

"Pada waktu puncak, kira-kira 4,000 kenderaan menggunakan laluan itu secara sehala iaitu dari Kota Bharu ke Tumpat dan kebanyakannya atas urusan kerja seharian.

"Seramai lapan anggota ditempatkan di SJR itu dalam tempoh berkenaan dan saya difahamkan akan ada bantuan daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam masa terdekat," katanya.

Dalam perkembangan penemuan mayat seorang lelaki di sungai di Kampung Mentuan tengah hari tadi, Ab Rashid berkata, pihaknya sedang menunggu keputusan proses bedah siasat yang dilakukan di Hospital Tumpat bagi mengetahui maklumat lanjut.

Menurutnya, mayat tanpa identiti itu dipercayai sudah lebih tiga hari terapung di sungai terbabit.

"Tiada unsur jenayah dan setakat ini kami tidak menerima sebarang laporan berkenaan orang hilang serta tiada individu yang tampil untuk membuat pengecaman," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 November 2020 @ 7:14 PM