Baharom Bakar


Kuala Berang : Banjir yang melanda dua kali setahun di India menyebabkan berlakunya kekurangan bekalan dan menyebabkan berlakunya peningkatan harga bawang dari negara itu.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata kerajaan sedang berusaha menyelesaikan masalah kekurangan bekalan bawang negara itu.

Bagaimanapun, jelasnya, kerajaan belum dapat memastikan tempoh untuk menyelesaikan masalah kekurangan bekalan bawang India.

"Kita dimaklumkan kebanyakan kawasan pengeluar bawang di negara itu sedang berhadapan dengan bencana banjir yang melanda dua kali dalam setahun.

"Jika peniaga menaikkan harga bawang sewenangnya, siasatan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan boleh dilakukan, " katanya pada sidang media selepas melawat Projek Fertigasi Tanaman Timun di Kampung Sungai Ular, di sini, hari ini.

Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu turut mengulangi kementeriannya akan terus mencari dan berusaha mendapatkan sumber bekalan bawang daripada negara pengimport bawang lain bagi memenuhi permintaan pengguna di negara ini.

Justeru itu, katanya, pengguna di seluruh negara diminta beralih menggunakan bawang yang diimport dari beberapa negara lain seperti Thailand, Pakistan, China, Belanda, Myanmar dan Indonesia.

"Pengguna yang mahu menggunakan bawang India diharap bersabar dan disarankan menggunakan alternatif lain dengan membeli bawang jenis lain yang harganya lebih kompetitif," katanya.

Ketika mengulas mengenai harga barangan, Rosol memberi jaminan bekalan bahan makanan utama mencukupi dan akan memastikan tiada berlaku kenaikan harga.

Dalam perkembangan lain, Rosol meminta lebih ramai Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) memohon

penggunaan logo Buatan Malaysia pada produk dihasilkan.

Jelasnya, hanya 1,236 permohonan pendaftaran logo Buatan Malaysia dengan jumlah Stock Keeping Unit (SKU) yang dipohon bagi mendapatkan pelabelan logo sebanyak 19,816, sejak April 2009 lalu.

"Daripada 19,816 SKU itu, sebanyak 15,951 diluluskan untuk mendapat penandaan logo Buatan Malaysia, manakala bakinya tidak mendapat kelulusan berikutan tidak menepati syarat permohonan ditetapkan.

"Antara faktor permohonan tidak diluluskan disebabkan kegagalan pemohon mengesahkan produk dikilangkan dalam negara," katanya.

DATUK Rosol Wahid (tengah) mendengar penerangan daripada peserta Projek Fertigasi Tanaman Timun, Mohd Nur Khuzari Mazid, 27, (kanan) dan Mukhri Mamat, 31. FOTO GHAZALI KORI
DATUK Rosol Wahid (tengah) mendengar penerangan daripada peserta Projek Fertigasi Tanaman Timun, Mohd Nur Khuzari Mazid, 27, (kanan) dan Mukhri Mamat, 31. FOTO GHAZALI KORI

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 November 2020 @ 8:01 PM