Anggota polis dibantu penguatkuasa MPT menjalankan pemeriksaan daftar masuk ke pasar sehari pagi di Plaza Perbandaran Taiping dekat Jalan Chun Thye Ping, di sini, pagi tadi. FOTO PDRM
Anggota polis dibantu penguatkuasa MPT menjalankan pemeriksaan daftar masuk ke pasar sehari pagi di Plaza Perbandaran Taiping dekat Jalan Chun Thye Ping, di sini, pagi tadi. FOTO PDRM
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Taiping: Masih ada penduduk daerah ini gagal mematuhi peraturan Perintah Kawalan Pergerakan apabila lapan dikompaun kerana tidak mendaftar dengan aplikasi MySejahtera atau buku catatan.

Mereka dikesan dalam operasi pematuhan di sebuah pasar sehari dekat Plaza Perbandaran Taiping di Jalan Chun Thye Ping di sini, hari ini.

Jumlah itu, sekali gus menafikan dakwaan lebih 40 kompaun mengingkari arahan PKP dikeluarkan.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, kompaun dikeluarkan masing-masing kepada tiga lelaki dan lima wanita berusia antara 44 hingga 73 tahun.

"Kompaun dikeluarkan mengikut Subseksyen 11(3) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Osman menafikan dakwaan tular di media sosial kononnya lebih 40 kompaun dikeluarkan dalam operasi itu, selain menasihati pengguna media sosial agar tidak berkongsi maklumat salah yang boleh mengelirukan orang ramai.

Terdahulu, operasi lebih tiga jam itu membabitkan 12 pegawai dan anggota serta dibantu empat penguat kuasa Majlis Perbandaran Taiping (MPT).

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 November 2020 @ 8:36 PM