BERNAMA

Kuala Lumpur: Sejumlah RM15 juta diperuntukkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 untuk mereka bentuk dan menjalankan kerja awalan bagi menaik taraf jeti utama dan kargo di Pulau Pangkor, persidangan Dewan Rakyat dimaklumkan hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, daripada jumlah itu, RM7 juta diperuntuk untuk tahun hadapan.

Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab bagi menjawab soalan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (Bersatu-Tambun) mengenai status permohonan projek naik taraf jeti penumpang di pulau bebas cukai itu.

Pulau pelancongan berkenaan diwartakan sebagai pulau bebas cukai berkuat kuasa 1 Januari lalu.

Menjawab soalan Ahmad Faizal yang juga Menteri Besar Perak berhubung status permohonan memendekkan tempoh kelayakan pembelian bebas cukai di Pulau Pangkor daripada 48 jam kepada 24 jam, Mustapa berkata, ia sedang dipertimbang Kementerian Kewangan.

JETI Pulau Pangkor. FOTO arkib NSTP
JETI Pulau Pangkor. FOTO arkib NSTP

"Seperti Tambun sedia maklum, Kementerian Kewangan telah tulis surat kepada kerajaan Perak (sebelum ini) menyatakan bahawa pada masa ini ia tak dapat dipertimbangkan kerana kalau diluluskan layanan sama perlu diberikan kepada tiga pulau lain iaitu Labuan, Tioman dan Langkawi," katanya.

Berhubung permohonan menjadikan jeti Sungai Pinang Kecil di pulau berkenaan sebagai tempat pendaratan yang sah, Mustapa berkata buat masa ini perkara itu tidak mendapat kelulusan pihak kastam.

"Apa pun kita faham jeti yang ada pada masa sekarang ini (jeti utama) sesak dengan penumpang… oleh itu ada keperluan untuk mengkaji pelan ini secara keseluruhan.

"Kami akan bincang dengan kerajaan Perak bagaimana kita boleh lihat semula keputusan dibuat kastam…dan kita akan rujuk perkara ini kepada Kementerian Kewangan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 November 2020 @ 12:27 PM