Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Plaza Hentian Kajang yang bermula sejak 28 Oktober lalu ditamatkan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, setakat semalam, sebanyak 5,752 ujian saringan dilakukan dan 462 kes kumulatif positif Covid-19 direkodkan.

Katanya, semua sampel saringan sudah diperolehi dan tiada sampel yang masih menunggu keputusan.

"Sehubungan itu, atas nasihat dan penilaian risiko oleh KKM, sidang khas hari ini bersetuju untuk menamatkan PKPD di Plaza Hentian Kajang pada 24 November (esok) sebagaimana yang dijadualkan.

"Walau bagaimanapun, semua penduduk di lokaliti ini masih tertakluk kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan di seluruh Selangor," katanya pada sidang media harian, hari ini.

PERINTAH Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD)  di Plaza Hentian Kajang ditamatkan. FOTO Arkib NSTP
PERINTAH Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Plaza Hentian Kajang ditamatkan. FOTO Arkib NSTP

Menurutnya, PKPD di Medan 88, Salak Tinggi, Sepang, Selangor yang dikuatkuasakan pada 12 November sehingga 25 November juga ditamatkan.

Katanya, KKM melaksanakan sebanyak 619 ujian saringan dan 56 kes positif Covid-19 direkodkan di lokaliti ini.

"Berdasarkan penilaian risiko yang dijalankan oleh KKM mendapati situasi Covid-19 di lokaliti menunjukkan trend penurunan dan terkawal.

"Atas nasihat KKM, sidang khas hari ini bersetuju menamatkan PKPD di Medan 88, Salak Tinggi, Sepang, Selangor pada 25 November seperti dijadualkan," katanya.


Selain itu katanya, PKPD di Kampung Sabah Baru, Lahad Datu, di Sabah dilanjutkan selama 14 hari lagi bermula 24 November hingga 7 Disember ini.

"Manakala, PKPD di Putra Point Nilai, Negeri Sembilan diteruskan sehingga 30 November ini bagi menunggu semua keputusan sampel saringan kedua diperolehi," katanya.


Katanya, sidang khas juga bersetuju melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di daerah Kuching, Sarawak sehingga 27 November ini.

"Restoran dan kedai, termasuk kedai serbaneka dibenarkan beroperasi sehingga jam 12 tengah malam bermula esok," katanya.


  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 November 2020 @ 6:05 PM