GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hazri A Bakar

Johor Bahru: Tempoh reman tujuh hari terhadap 13 individu termasuk sembilan anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang berakhir hari ini, disambung lima hari lagi.

Perintah sambung reman itu dikeluarkan Pendaftar Mahkamah Rendah Johor Bahru, Nur Izzaty Muhammad Zahari selepas menerima permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kira-kira jam 9 pagi tadi.

Ia bagi membantu siasatan kes pemalsuan cap sempadan negara sejak mereka ditahan pada Isnin minggu lalu.

Kesemua 13 itu termasuk empat orang awam yang dipercayai bertindak sebagai ejen yang membantu kegiatan jenayah terbabit dengan mendapatkan khidmat cap sempadan bagi warga asing secara tidak sah.

Selasa lalu, kesemua individu terbabit ditahan direman selama tujuh hari berakhir hari ini.

Harian Metro sebelum ini melaporkan 50 individu ditahan berkaitan kegiatan cap palsu di sempadan menerusi Ops Selat yang dilaksanakan SPRM.

SPRM turut merampas beberapa kenderaan mewah selain wang tunai dalam operasi yang dijalankan dengan kerjasama JIM itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 November 2020 @ 8:45 PM