GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Empat sungai di Terengganu kini berada pada paras bahaya berikutan hujan berterusan sejak semalam.

Ia membabitkan dua sungai di daerah Setiu serta masing-masing satu di Besut dan Hulu Terengganu.

Berdasarkan laporan infobanjir.water.gov.my, sehingga 7 pagi ini, empat sungai lagi iaitu masing-masing dua direkodkan pada paras amaran dan waspada.

Di Setiu, Sungai Chalok di Jambatan Chalok dan Sungai Nerus di Kampung Langkap kini berada pada paras bahaya dengan bacaan 9.19 meter (m) berbanding paras normal (5 m) dan 21.63 m (17 m).

Dua lagi sungai yang berada pada paras bahaya adalah Sungai Besut di Jambatan Keruak, Besut dengan bacaan 35.51 meter (28.50 m) dan Sungai Telemong di Kuala Ping, Hulu Terengganu yang berada pada paras 20.21 m.

Selain itu, dua lagi sungai di daerah Setiu iaitu Sungai Nerus di Kampung Bukit dan Sungai Setiu di Kampung Besut turut direkodkan berada pada paras amaran iaitu 12.03 m dan 17.03 m.

Sementara itu, Sungai Besut di Kampung La, Besut yang merekodkan bacaan 20.68 m kini berada pada paras waspada.

Di Dungun, Sungai Dungun di Kampung Pasir Raja juga direkodkan berada pada paras waspada dengan bacaan 36.08 m.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sebelum ini mengeluarkan notis amaran cuaca buruk di Kelantan, Terengganu dan Pahang sehingga hari ini.

Ia membabitkan Kota Bharu, Bachok, Pasir Puteh dan Kuala Krai di Kelantan serta Maran, Kuantan dan Pekan di Pahang serta seluruh negeri Terengganu, susulan hujan lebat yang dijangka berterusan di tiga negeri itu.

Angin kencang timur laut berkelajuan 40 hingga 50 km/jam dengan ombak mencapai 3.5 meter dijangka berlaku di perairan Kelantan, Terengganu dan Pahang dalam tempoh itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 November 2020 @ 9:56 AM